Saya minat Thor, kata PM
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan mengenai watak kegemarannya dalam filem terbitan Marvel.
Semalam, banyak media melaporkan ahli politik berusia 94 tahun itu meminati watak Thanos.
"Saya suka yang besar. Ya, Thanos," katanya ketika ditanya sama ada beliau merujuk kepada Thanos selepas melancarkan pameran 'Marvel Studios: Ten Years of Heroes' di Kuala Lumpur malam tadi.
Astro Awani pula melaporkan Mahathir lebih suka watak gergasi berbadan hijau - Hulk.
“Saya suka yang besar tu, yang pakai kapak. Sebab dia garang,” katanya seperti dilapor portal itu semalam.
Namun menerusi Twitter petang ini, Mahathir mendedahkan watak kegemarannya sebenar adalah watak hero yang memegang tukul, Thor.
"Apabila wartawan bertanya watak mnakah yang saya minati seperti di dalam pameran tersebut, saya pilih watak Thor," katanya.

