Gangguan bekalan air di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih telah pulih sepenuhnya, kata Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad.

“Kami juga merakamkan ucapan penghargaan kepada beberapa pihak termasuk agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan persatuan penduduk yang menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Raof turut menasihatkan pengguna agar bersama-sama menjaga sumber air dan menggunakan air dengan berhemah.

Pencemaran bau itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih sejak 26 Jun lalu dan mencetuskan gangguan bekalan air di empat kawasan itu.

Untuk maklumat dan status terkini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore secara percuma, katanya.

- Bernama