Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta majikan sektor swasta supaya memberi pertimbangan sewajarnya untuk cuti paterniti selama tiga hari ke atas golongan suami jika isteri mereka bersalin.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata cuti paterniti yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia untuk golongan bapa di sektor swasta perlu dilaksanakan kerana mereka perlu memainkan peranan bagi meringankan beban ibu yang baru melahirkan anak.

"Apabila para ibu melahirkan anak apatah lagi secara pembedahan yang sudah tentu memerlukan pertolongan dan penjagaan daripada golongan bapa, ia akan memberi tekanan kepada wanita sekiranya perlu melakukan pelbagai urusan seorang diri.

"Jika mereka mempunyai anak-anak yang lain untuk dijaga, sudah tentu para ibu tidak mampu menangani seorang diri. Jadi, para majikan perlu menimbang mengenai perkara itu kerana dari sudut kekeluargaan, adalah penting para isteri yang baharu melahirkan anak mendapat sokongan dari golongan suami," katanya.

Yeoh berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Nomee Ashikin Mohamed Radzi di Sekolah Semangat Maju di Ipoh, Perak hari ini.

Pada 20 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan cuti paterniti selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menterinya, Mahfuz Omar berkata draf pindaan di bawah Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta atas alasan ia memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.

Terdahulu, dalam ucapannya Yeoh melahirkan penghargaan kepada Persatuan Orang Kurang Upaya Intelek Perak (sub: Perak Association for Intelecually Disabled) (PAFID) yang mengambil langkah proaktif membantu golongan OKU daripada segi masalah pembelajaran dengan mewujudkan sekolah dan bengkel terlindung (sheltered workshop) di negeri ini.

"Sebanyak lima sekolah dan empat bengkel, sebuah kilang serta sebuah pusat penjagaan harian yang dikendalikan PAFID dengan menyediakan latihan pendidikan dan vokasional serta latihan kerja secara holistik.

"Tahniah saya ucapkan kepada PAFID kerana mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan OKU bagi membolehkan mereka juga mampu berjaya seperti manusia normal yang lain," katanya.

- Bernama