Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Isytihar harta boleh timbulkan rasa dengki

PAS berpendapat bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu tersebut, di samping akan menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai merujuk usul yang akan dibentangkan kerajaan di parlimen.

“Ia melibatkan isteri, anak-anak.. kalau kita lihat dalam Islam, hadis nabi sebut, Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai.

“Soal keselamatan bila kita isytihar, keselamatan harta dan invididu perlu diambil kira,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim, tiada keperluan bagi ahli parlimen pembangkang untuk mengisytiharkan harta, memandangkan mereka tiada akses kepada projek-projek melibatkan kerajaan.

Justeru, katanya, PAS tidak akan menyokong usul tersebut kerana merasakan ia perlu diteliti terdahulu sebelum dibentang.

“Apa asas pengisytiharan harta? Negara kita dah ada undang-undang dan ada akta-akta cukup yang sedia ada. Hasil-hasil (pendapatan) masih kita lapor kepada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) setiap tahun.

“Saya fikir tak ada keperluan. Pembangkang tak ada akses kepada projek-projek kerajaan. Apa keperluan isytihar? Kalau pihak kerajaan betul (perlu), kerana ada akses kepada kerajaan untuk ambil projek

“Kita tak sokong usul ini melainkan dipinda satu landasan undang-undng dalam akta. Kalau motion (usul) sahaja no point (tak ada makna).

"Jangan gopoh, kita kaji implikasi. Jangan kita terdesak, kita buat nanti tarik balik. Kena teliti sebelum bentang,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan membentangkan usul di parlimen bagi mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lihat Komen
ADS