Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh bicara
Diterbitkan:  Jul 1, 2019 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal dalam usaha menangguhkan perbicaraan bagi menghadiri perbahasan parlimen berhubung rang undang-undang yang memerlukan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Ini selepas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang memberitahu mahkamah adalah penting bagi anak guamnya berada di parlimen pada hari ini kerana usul itu merupakan "kepentingan yang besar".

Shafee juga menyebut beberapa contoh penangguhan lalu dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan anggota parlimen, termasuk Karpal Singh dan Anwar Ibrahim.

Menurut peguam itu, anak guamnya hanya meminta penangguhan untuk hari ini dan kemungkinan hari lain bagi menghadiri perbahasan mengenai usul menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Ini katanya berbeza dengan kes-kes lain di mana mahkamah memberi penangguhan sepenuhnya kepada anggota parlimen bagi menghadiri sesi parlimen itu.

"Beliau (Najib) menjangka (untuk menghadiri) hanya 2 topik kepentingan yang besar. Topik kedua ialah usul yang memerlukan majoriti dua pertiga bagi menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

"Untuk itu rang undang-undang itu memerlukan sokongan dua pertiga. Dan seperti Yang Arif tahu, kerajaan sekarang tidak mempunyai dua pertiga (di Parlimen)," katanya.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Peguam Negara Tommy Thomas, yang menyifatkan permintaan Najib sebagai "permohonan remeh".

Thomas berkata seorang anggota parlimen tidak boleh diberi layanan istimewa berbanding orang biasa yang dituduh melakukan suatu kesalahan jenayah.

"Jadi jawapannya, kami (pendakwaan) bantah. Ini adalah harga yang dia perlu bayar, jika seorang anggota parlimen dituduh atas pertuduhan jenayah, dia tidak berada di atas undang-undang.

"Dia ada di kandang tertuduh, dia perlu mematuhi semua peraturan. Ini adalah alasan yang lemah," katanya. 

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Nazlan kemudian memutuskan untuk menolak permohonan itu.

"Saya menentang permintaan untuk penangguhan, kerana prosiding parlimen akan berlangsung selama beberapa minggu. Tidak pasti bila undi (RUU) itu.

"Ini bukan isu mahkamah menghalang tertuduh daripada menghadiri parlimen.

"Perkara yang penting adalah anggota parlimen yang dituduh juga menghadapi tujuh pertuduhan (berkaitan perbicaraan hari ini).

"Saya enggan permohonan untuk penangguhan," perintah Nazlan.



Lihat Komen
ADS