Terjemahan Kerajaan memberi jaminan tidak akan membebankan pengguna dengan kutipan tunggakan bil pembentungan yang melebihi RM500 juta apabila dua rang undang-undang berkaitan perkhidmatan air diluluskan oleh parlimen.

Ketua Pembangklang, Lim Kit Siang berkata, jaminan itu diberikan oleh Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dalam majlis taklimat berhubung dua rang undang-undang berkenaan semalam.

Menurut Lim, menteri tersebut menyatakan, walaupun undang-undang baru itu membenarkan bil bekalan air dan pembentungan disatukan, namun kutipan tunggakan bil pembentungan tidak akan dilakukan dalam bil yang sama.

Undang-undang baru itu juga membenarkan bekalan air dipotong jika caj pembentungan yang dikenakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) itu tidak dibayar.

"Menteri itu berkata, tunggakan bil pembentungan melebihi RM500 juta sejak tahun 1997 itu perlu dikutip menerusi cara lain," kata Lim dalam kenyataannya hari ini.

Rang undang-undang industri perkhidmatan air (RUIPA) dan rang undang-undang suruhanjaya perkhidmatan air negara 2005 (RUSPAN) dijadualkan dibentang di parlimen bulan depan.

Menurut Ketua pembangkang itu lagi, di bawah seksyen 89(2) RUIPA, bekalan air boleh dipotong jika caj bekalan air dan bayaran pembentungan tidak dibayar.

"Adalah tidak wajar jika seksyen ini digunakan untuk mengutip tunggakan caj pembentungan itu,"katanya.

Lim berkata, beliau telah mencadangkan bil berasingan dikeluarkan untuk dua perkhidmatan yang berbeza itu.

Beliau juga meminta RUIPA menyatakan dengan jelas dasar air sebagai hak asasi manusia dan awam. Kerajaan juga diminta menyedikan bekalan air bersih pada jumlah yang mencukupi dan harga yang munasabah.

"Bekalan air bersih adalah satu perkhidmatan untuk rakyat, negara-negara seperti Uruguay dan Belanda telah merintis langkah mengharamkan penswastaan bekalan air," ujarnya. Berita asal