Polis tahan 50 pada pesta liar di pusat karaoke
Tindakan sekumpulan 50 individu yang menyewa sebuah bilik untuk meraikan majlis hari jadi dan menganjurkan pesta liar di sebuah pusat karaoke di Jalan Berapit, di Bukit Mertajam awal pagi semalam, berjaya dikesan pihak polis.
Mereka yang terdiri daripada 37 lelaki dan 13 wanita berusia 15 hingga 30 tahun itu ditahan pada jam 4 pagi oleh sepasukan polis yang melakukan serbuan di pusat karaoke berkenaan susulan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abduk Hamid berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dua biji pil erimin 5, lima pil merah disyaki dadah serta sepaket kondom yang ditemui atas lantai dalam bilik berkenaan.
"Difahamkan, kumpulan terbabit termasuk dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan masih di bawah umur baru berjinak-jinak untuk menganjurkan pesta liar dengan ada antara mereka pertama kali masuk ke pusat karaoke berkenaan selepas di bawa rakan," katanya.
Berdasarkan siasatan awal, mereka yang ditahan terdiri daripada pekerja kilang, bekerja sendiri dan penganggur dan hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka termasuk seorang wanita didapati positif dadah.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis menahan dua lelaki berumur 30 tahun dan merampas 25 bungkus air ketum bernilai RM250 selain pelbagai peralatan untuk memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Sabtu lalu.
Katanya hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah milik seorang daripada lelaki itu kira-kira jam 5.30 petang dan pemeriksaan di bahagian dapur menemui periuk, jag dan plastik dipercayai untuk membungkus air ketum yang telah siap diproses.
"Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki yang tidak bekerja itu mendapatkan bekalan daun ketum dari sindiket di negeri jiran sebelum memprosesnya sendiri dan menjual air ketum itu kepada pelanggan di sekitar kawasan Bukit Mertajam sejak dua bulan lepas," katanya.
- Bernama

