Malaysiakini
BERITA

Bicara kes rasuah RM2 juta Ku Nan bermula pagi ini

Bernama

Diterbitkan

Perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong bermula pagi ini di Mahkamah Tinggi di sini dengan pendakwaan membacakan penyataan pembukaan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim membacakan penyataan pembukaan itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. Julia dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali, Rullizah Abdul Majid, Hadariah Siri, Natasha Abdul Azis dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Tengku Adnan, 68, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi. Peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai barisan pembelaan yang dibantu oleh peguam Datuk S. Satharuban, Michelle Lai, Natalie Tan dan Aaron Lau.

Dijangka empat saksi akan memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu antaranya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bahagian Kabinet dan pegawai bank.

Kes Tengku Adnan ditetapkan untuk perbicaraan bermula 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai 2019.

Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur pada 2013.

Perbicaraan kes itu yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula 3 Sept ini.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.