Paling Popular
Terkini

Kumpulan pencegahan maksiat tempatan yang dikenali sebagai Skuad Badar bakal membuat kemunculan semula tidak lama lagi.

Presidennya, Azhar Mohamad nekad untuk mengaktifkan semula aktiviti mereka sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam yang disifatkan semakin membimbangkan di negara ini.

Menurutnya, kemunculan mereka dengan nama 'Skuad Badar al-Qubra' dijangka pada penghujung Julai ini dengan memberi tumpuan lebih aktif demi membanteras kegiatan maksiat.

"Saya dan aktivis Skuad Badar akan kembali aktif dalam usaha mencegah aktiviti maksiat.

"Kemunculan ini dibuat kerana kita mahu jaga anak bangsa beragama Islam agar terhindar daripada perkara mungkar.

"Sebab kita boleh nampak keadaan sekarang cukup membimbangkan. Kalau di Sungai Petani (Kedah) budak-budak beromen depan-depan kita, atas motosikal. Kita tak boleh biarkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Azhar ditahan pihak berkuasa pada Januari lalu sekali gus aktiviti kumpulan itu terhenti.

Sementara itu Azhar berkata, Skuad Badar al-Qubra bakal diperluas ke seluruh negara dan berharap dapat kerjasama baik oleh pihak berkuasa.

"Kita kini sedang dalam persiapan dalam pelbagai aspek khususnya bagi mendaftarkan pertubuhan ini kepada ROS (Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia).

"Kita juga akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan jabatan-jabatan agama negeri untuk kita jalinkan kerjasama, " jelasnya.

Tambah Azhar, Skuad Badar al-Qubra akan muncul dengan prosedur piawai operasi (SOP) tersendiri yang dikini sedang dirancang.

"Sebelum ini kita tak ada apa-apa masalah dengan pihak berkuasa, saya ditahan pun cuma isu pendaftaran.

"InsyaAllah kita akan kembali demi memelihara kesucian agama Islam dan menyelamatkan umat Islam daripada perkara mungkar, " katanya.

Lihat Komen
ADS