Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Air, Tanah dan Sumber, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan bahawa Malaysia hanya boleh mengeksport pasir sungai.

Bagaimanapun, kata Xavier ia perlu mendapat kelulusan daripada perdana menteri.

Menurut Xavier, terdapat empat syarikat diberi lesen mengeksport pasir sungai dengan kapasiti kurang daripada dua juta tan.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara Mei tahun lalu, kita putuskan pasir laut tidak dieksport ke mana-mana negara.

“Pasir sungai pula boleh dieksport ke negara lain tapi memerlukan kelulusan Perdana Menteri, Kabinet memutuskan tetapi beliau yang perlu luluskan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Menurut dua sumber kerajaan kepada agensi berita antarabangsa, Reuters, Mahathir telah mengenakan larangan ke atas semua eksport pasir laut pada 3 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Xavier berkata aktiviti mengorek pasir laut di Malaysia pula hanya untuk kegunaan dalam negara, bukan dieksport ke luar negara termasuk ke Singapura.

Jelas Xavier yang juga anggota parlimen Kuala Langat, antara sebab utama pasir laut tidak dieksport kerana perolehan pendapatannya sangat kecil dan hasilnya perlu diserahkan kepada kerajaan negeri.

Kata beliau, pendapatan Kerajaan Persekutuan hanya melalui cukai ke atas syarikat melalui laporan tahunan syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan.

“Di samping itu, hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains mendapati aktiviti mengorek pasir hanya boleh dilakukan dalam jarak tiga kilometer di luar pesisir pantai supaya ia selamat kepada alam sekitar.

“Buat masa ini kita sedang tambak tanah di Pulau Pinang dan Melaka manakala Negeri Sembilan pun dikatakan memulakan program yang sama, jadi semua kawasan ini memerlukan banyak pasir laut iaitu kira-kira 15 juta tan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hubungan Malaysia dan Singapura susulan keputusan tidak mengeksport pasir itu, Xavier berkata, republik itu bebas mengimport pasir dari mana-mana negara.

“Singapura boleh membeli mana-mana negara yang menjual pasir jika mahu membuat penambakan, kita tiada hak untuk halang mereka atau negara-negara lain berbuat demikian,” katanya

Lihat Komen
ADS