Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU turunkan umur calon pilihan raya sesi parlimen depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk membentang rang undang-undang lain bagi menurunkan had umur kelayakan calon pilihan raya pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata ini kerana kerajaan memerlukan masa untuk meneliti perkara itu, terutamanya kerana melibatkan pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu beliau berkata kerajaan tidak akan memperkenalkan rang undang-undang (RUU) lain semasa persidangan Dewan Rakyat kali ini.

"Tidak (bentang rang undang-undang lain). Ia boleh dibuat dalam sesi parlimen akan datang. 

"Semua pindaan perlembagaan perlu dilakukan mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya. Kita perlu buat demikian (mengkaji semula peraturan) dan untuk bolehkan proses menjadi berkesan,"kata Liew kepada pemberita di parlimen hari ini.

Menteri berkenaan menggesa pembangkang menyokong terlebih dahulu pindaan Perkara 199 perlembagaan untuk membolehkan penurunan had umur mengundi pada masa yang sama.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menggesa kerajaan meminda Perkara 47 Perlembagaan untuk mengubah had umur seseorang yang bertanding sebagai wakil rakyat.

Pada masa ini seseorang individu boleh menganggotai Dewan Negara jika berumur tidak kurang 30 tahun dan boleh menganggotai Dewan Rakyat jika berumur tidak kurang daripada 21 tahun.

"Kamu perlu baca Perkara 47. Jadi kalau kamu ada hak untuk mengundi, kamu juga perlu ada hak untuk diundi," katanya.

Annuar berkata demikian pada sidang akhbar bersama pemimpin PBB, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Kita (Umno dan PBB) berpendapat (dan) kita telah berbincang dengan PAS semalam, kita telah berbincang dengan (parti-parti dari) Sarawak, bahawa ketiga-tiga blok telah mencapai kata sepakat kita mahu kesemua tiga (pindaan perlembagaan) dilakukan serentak. 

"Turunkan (had) umur kepada 18, termasuk pendaftaran automatik dan jadikan umur 18 layak untuk menjadi calon," kata Annuar.

Beliau menegaskan bahawa blok pembangkang akan menolak usul untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun jika hanya sebahagian daripada tuntutan itu dilaksanakan.

"(Jika tidak) Kami akan akan mengemukakan rang undang-undang ahli persendirian ke parlimen," katanya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan secara prinsip setuju dengan cadangan pembangkang agar pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan turut melibatkan pendaftaran pengundi secara automatik, namun perkara itu tidak dapat disertakan dalam usul pindaan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun berkata kerajaan perlu meminda Perkara 119 (4) Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi) bagi melaksanakan pendaftaran automatik.


Lihat Komen
ADS