Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas Haziq, Shamsul kata akan hati-hati cari pegawai

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin menerima 20 orang calon yang membuat permohonan jawatan setiausaha sulit kanannya bagi menggantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dipecat sebelum ini.

Menurut beliau, setiap permohonan itu akan disaring dengan lebih teliti untuk mengenal pasti individu terbaik menggalas jawatan itu.

"Permohonan diterima sangat menggalakkan dengan 20 permohanan termasuk dalam kalangan wartawan berpengalaman. Setakat ini saya belum menyemak kesemua permohonan berkenaan.

"Setakat yang saya semak permohonan, belum ada yang memenuhi sebagaimana dikehendaki.

“Untuk jawatan itu diberi keutamaan kepada pegawai tadbir diplomatik daripada kementerian namun peraturan tidak menghalang mana-mana pihak (lantikan politik) untuk dibawa masuk," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Citra dan Anugerah Khidmat Bakti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu, semalam.

Haziq Abdullah Abdul Aziz

Pada 20 Jun lalu, Kementerian Industri Utama menamatkan khidmat Haziq daripada jawatan tersebut.

Ia susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam klip video seks luar tabii yang tular sebelum ini selain mendakwa seorang lagi individu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali.

Sementara itu Shamsul menyifatkan pengalaman kes tersebut menyebabkan beliau lebih berhati-hati untuk mencari calon terbaik.

"Perkara yang berlaku kita tak boleh jangka, tetapi seperti saya katakan sebelum ini ia memberi pengalaman supaya kita lebih berhati-hati untuk mencari calon terbaik.

"Dalam hal ini saya bekerjasama dengan bahagian sumber manusia kerana kita perlukan pegawai yang mampu memberi tumpuan penuh.

"Buat masa sekarang masih belum buat pemilihan lagi, Insya-Allah dalam masa terdekat," katanya.

‘Pecat ikut proses keadilan’

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pemecatan Haziq Abdullah daripada PKR katanya, perkara itu dibuat selepas melalui proses keadilan yang sewajarnya.

"Alasan dan asas pemecatan itu sudah jelas kerana Haziq sebagai anggota parti melemparkan tuduhan terhadap pimpinan khusus berkaitan kes rasuah.

“Kita tidak boleh galakkan budaya menyerang pimpinan tanpa alasan dan bukti kukuh. Sebarang isu perlu dirungkai menerusi kaedah dalaman.

“Saya percaya proses keadilan sudah diberikan lembaga disiplin parti dan tindakan itu (pecat) adalah wajar,” kata Shamsul yang juga ketua penerangan PKR.

Sebagai rekod, PKR pada Selasa lalu membuat keputusan memecat Haziq yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Lihat Komen
ADS