Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Salah di luar negara tak bermakna lepas dari mahkamah Malaysia’

Undang-undang Malaysia membenarkan pendakwaan dibuat terhadap Riza Aziz, anak tiri Najib Razak, atas kesalahan pengubahan wang haram walaupun ia berlaku di luar negara, kata timbalan pendakwa raya.

Ahmad Akram Gharib berkata perkara itu disebut dalam Seksyen 82(1)(e) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Menurut undang-undang, sesiapa yang didakwa melakukan kesalahan melibatkan harta milik kerajaan Malaysia boleh dibicarakan di mahkamah sama seperti ia dilakukan di sebarang tempat di negara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Riza Aziz

Ahmad Akram ditemui selepas Riza dituduh di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau ditanya berkaitan undang-undang Malaysia bagi mendakwa seseorang yang melakukan kesalahan di luar negara.

Semalam, kakak tiri Riza, Nooryana Najwa, meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan SPRM berkaitan pendakwaan itu atas alasan perbuatan didakwa berlaku di luar negara.

Syarikat Riza, Red Granite juga, kata Nooryana, sudah membuat bayaran penyelesaian dengan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Red Granite ialah syarikat penerbit filem Hollywood yang menghasilkan filem blokbuster The Wolf of Wall Street.

Red Granite telah membayar AS$60 juta bagi mengelakkan aset-asetnya dirampas oleh DOJ.

Menurut Akram, apa yang berlaku antara DOJ dan Red Granite hanyalah penyelesaian sivil dan tidak membebaskannya daripada dakwaan kesalahan yang dibuat.

Riza, 42, berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram atas dakwaan menerima wang secara haram yang berpunca dari 1MDB.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan padanya, Riza didakwa menerima wang keseluruhan sebanyak AS$248 juta, yang disalurkan lima kali antara 2011 dan 2012.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS