Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu bawa usul layakkan 18 tahun jadi calon pilihan raya
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

PAS akan membawa usul persendirian bagi membolehkan anak muda berusia 18 tahun bukan saja layak mengundi, tetapi layak untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya.

"Bukan saja 18 tahun (had minimum umur mengundi), tetapi automatik layak mengundi, tanggungjawab itu perlu diperluaskan kerana kewajipan mengundi itu masih lemah dalam kalangan orang muda.

"Kalau mengundi boleh, calon (pilihan raya) 18 tahun juga mestilah boleh," katanya dalam satu sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Abdul Hadi berkata, demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mencadangkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (a) perlembagaan berkenaan dibentang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Cadangan pindaan itu membolehkan lebih ramai warganegara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan melalui pilihan raya selaras sistem demokrasi yang progresif.

Cadangan itu turut mendapat sokongan bekas perdana menteri, Najib Razak meski menyorot beberapa perkara yang menurutnya merupakan kelemahan langkah kerajaan.

Sementara itu, mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata kebanyakan negara di dunia telah menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun dan PAS menyokong dengan cadangan beberapa tambahan perlu dilakukan.

Mengulas mengenai kematangan pengundi berusia 18 tahun, Abdul Hadi yakin anak muda mampu membuat pertimbangan yang wajar dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi ilmu kepada mereka.

"Orang muda sekarang sudah boleh membaca, bukannya buta huruf macam dulu lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS