Jho Low banyak cakap, mari datang ke AS, kata duta
Ahli perniagaan kontroversi kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho dipelawa ke Amerika Syarikat untuk membuktikan dirinya tidak bersalah dalam tuduhan pengubahan wang haram.
Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamal Shirin Lakhdhir menyifatkan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low sebagai individu yang "banyak cakap".
"Dia perlu pulang untuk menghadapi tuduhan, atau dia boleh datang ke Amerika Syarikat untuk membuktikan dia tidak bersalah," kata Kamala ketika ditemubual dengan media terpilih di Pulau Pinang.
Beliau merujuk kepada Low, yang menghadapi tuduhan tanpa kehadiran di negara ini dan di Amerika Syarikat berhubung tuduhan menerima lebih AS$ 1 bilion (RM4.2 bilion) daripada 1MDB pada tahun 2009 dan 2011.
Low berulang kali menafikan sebarang salah laku melalui jurucakap beliau, dan mendakwa dia tidak akan mendapat perbicaraan adil di Malaysia.
Kamala turut berada di Pulau Pinang untuk menghadiri majlis makan malam gala sempena Hari Kemerdekaan AS yang dianjurkan oleh syarikat multinasional republik itu.
Kamala memberi jaminan bahawa AS dan Malaysia akan bekerjasama rapat untuk mengesan keberadaan Jho Low.
Katanya, terdapat kerjasama pihak berkuasa AS dan Malaysia, dan di antara Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman AS serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
"Tetapi mereka tidak akan berkongsi dengan kami atau dengan saya apa interaksi mereka secara langsung dalam kes itu.
"Ini masih merupakan hal ehwal penguatkuasa undang-undang dan mereka menjaga perkara-perkara seperti ini secara berhati-hati," katanya.
Kamala berkata Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara negara-negara berkenaan agar aset yang telah disalahgunakan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia, kini sedang dikuatkuasakan.
Beliau berkata sejak tahun 2017 dan 2018, sudah terdapat usaha berterusan di mana AS telah merampas aset yang dianggap dibeli melalui wang dan dana disalahgunakan daripada 1MDB.
"Kami telah merampas aset-aset berkenaan dan apabila tindakan undang-undang selesai, nilai aset akan dikembalikan ke Malaysia, kita telah berbuat demikian dengan Kementerian Kewangan," katanya.

