Menteri Industri Utama Teresa Kok dan sekolah antarabangsa yang mengadakan persembahan yang mengkritik industri minyak kelapa sawit akhirnya berdamai semalam.

Menerusi satu hantaran Facebook hari ini, Kok berkongsi kunjungan pentadbir The International School@Parkcity untuk memohon maaf kepadanya berhubung insiden itu.

"Mereka menunjukkan klip video yang disiarkan di perhimpunan murid. Klip itu termasuk sedutan daripada video antiminyak sawit bertajuk 'Rang Tan' oleh NGO Greenpeace.

"Murid hanya mengulang watak yang dipamerkan dalam klip video itu dan ditunjukkan ketika perhimpunan.

"Mereka memohon maaf berhubung insiden malang itu dan berkata mereka sepatutnya boleh mengendalikan situasi itu dengan lebih baik," katanya.

 Selasa lalu, Kok mengkritik persembahan itu yang antara lain mendakwa ladang kelapa sawit menyebabkan penebangan hutan dan membunuh 3,000 ekor orang utan setiap tahun.

Beliau antaranya berkata persembahan itu mensabotaj usaha kementerian untuk mempromosikan minyak sawit dalam menghadapi boikot antarabangsa.

Kok berkata lagi, beliau memberi penjelasan kepada pentadbir sekolah berkenaan manfaat minyak sawit kepada kesihatan serta kepentingannya kepada ekonomi, terutama untuk masyarakat di luar bandar.

"Saya sangat menghargai kunjungan dan keikhlasan mereka untuk menyelesaikan salah faham ini. Sikap rendah hati dan jujur yang ditunjukkan adalah bukti mereka adalah kumpulan profesional yang menguruskan dan mentadbir sekolah," katanya lagi.

[Baca berita asal]