Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada jaminan pekerjaan tetap sektor awam di masa depan - KJ

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini berkata rakyat Malaysia perlu bersedia dari segi jaminan pekerjaan tetap dan pendapatan yang lebih rendah pada masa depan.

Tidak seperti kebimbangan terhadap pekerjaan secara kontrak pada masa ini, Khairy berkata pada masa akan datang proses automasi dan "gig economy" yang semakin meningkat akan memberi kesan walaupun di sektor awam - yang sering dianggap menawarkan jaminan pekerjaan tetap dan pendapatan tinggi.

"Saya berpendapat bahawa orang yang mempunyai perkerjaan tetap perlu membayangkan masa depan di mana tiada pekerjaan tetap," kata Khairy yang memetik contoh profesor dari Universiti Cambridge yang dibayar berdasarkan bilangan syarahan yang mereka sampaikan.

"Gig economy" adalah merujuk sistem pasaran bebas yang mana pekerjaan sementara adalah amalan biasa dan sesebuah organisasi mengikat pekerja secara kontrak untuk penglibatan jangka pendek.

"Itulah model masa depan.

"Saya (juga) ingin membawa sektor besar yang perlu menjalani perubahan ini (iaitu)...sektor awam,"kata Khairy yang mengatakan setiausaha politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua tidak akan membangkitkan isu yang sama kerana kedudukannya sekarang dalam kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan pada depan mungkin perlu mempertimbangkan semula jawatan dalam perkhidmatan awam dan amalan pada masa ini membayar pencen sepanjang hayat yang kini membentuk kira-kira satu pertiga perbelanjaan persekutuan.

Beliau berkata, ini kerana walaupun pada masa ini terdapat banyak jawatan yang boleh diautomasikan tetapi kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan mereka yang sudah berada dalam perkhidmatan awam dengan jaminan pencen seumur hidup.

"Tetapi pada masa akan datang kita akan semakin dapat menukar kerja-kerja yang dilakukan oleh penjawat awam kepada automasi atau pekerja bebas.

"Apabila ini berlaku maka seluruh tanggapan jaminan sosial dalam masa 10 tahun atau 20 tahun akan perlu berubah," kata Khairy.

Beliau menggesa kerajaan untuk tampil dengan dasar bagi mempersiapkan  generasi baru dengan cabaran berkenaan.

"Anda mungkin tidak dapat berbuat demikian dengan orang yang sedang dalam perkhidmatan tetapi pasti apa yang kerajaan perlu fikirkan sekarang adalah rekrut baru ke perkhidmatan awam tidak akan lagi sama, tidak mungkin dapat menikmati manfaat yang sama seperti orang-orang yang berada dalam perkhidmatan awam sekarang.

"Oleh kerana kerajaan tidak akan mampu membayar semua ini," tegas Khairy.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS