Rumpun Melayu di seluruh dunia diminta jangan terus bernostalgia dengan keagungan empayar pemerintahan satu masa dahulu sekiranya mahu terus dipandang tinggi di mata masyarakat dunia pada masa ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah semua 300 juta keturunan bangsa Melayu dan Islam perlu bekerja keras mengembalikan keagungan bangsa yang tercipta satu ketika dahulu khususnya pada pemerintahan kesultanan Melaka.

"Kalau terus bernostalgia tidak berbuat apa-apa, orang Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi hanya duduk dalam kurungan di sangkar-sangkar tanah rizab Melayu," katanya semasa merasmikan Seminar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Seremban.

Menurut laporan Bernama, turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga presiden DMDI.

Beliau berkata apa yang diharapkan daripada seminar itu ialah supaya resolusi yang dihasilkan akan dilaksanakan demi meningkatkan sektor ekonomi, sosio-budaya, pelancongan serta pelbagai aspek lain yang penting.

"Kewujudan DMDI diharap dapat menghasilkan bangsa yang dapat menggegar masyarakat antarabangsa kelak. Jaringan yang ada antara rumpun Melayu seluruh dunia ini perlu digunakan sebaik-baik mungkin," katanya.

Katanya, perkara ini tidak mustahil dan dapat dicapai tetapi perpaduan Melayu perlu diperkuatkan bagi mengatasi segala rintangan dan halangan.

Seminar dua hari yang berakhir hari ini bertema `Peranan adat dan sosio budaya dalam pembinaan jati diri bagi aspek pembangunan ekonomi dan pelancongan' turut membentangkan kertas-kertas kerja ekonomi dan adat.

Kira-kira 350 peserta dan wakil masyarakat dari Malaysia, Indonesia, Filipina, United Kingdom, Sri Lanka, Singapura dan China menghadiri seminar itu.

Sekretariat DMDI diwujudkan pada 2003 hasil resolusi Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam pada 2000 dengan objektif menyatukan masyarakat Melayu Islam seluruh dunia dalam kesemua aspek termasuk kehidupan dan juga kerohanian.