LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salahguna dana SRC International sebanyak RM42 juta memasuki hari ke-34 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


5.10 petang: Menteri Kewangan diberi kuasa untuk buat keputusan: Saksi

Menteri Kewangan diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957 dalam membuat keputusan berkaitan dengan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Perkara itu dipersetujui oleh Timbalan Ketua Setiausaha Agung Mat Noor Nawi semasa pemeriksaan semula oleh DPP Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi merujuk saksi ke-44 itu kepada Akta, yang menyatakan: "Suatu Akta untuk memasukkan menteri yang bertanggungjawab untuk kewangan."

DPP juga merujuk saksi kepada Seksyen 3 (1) Akta yang berbunyi: "Menteri pada masa yang dipertanggungjawabkan untuk kewangan adalah badan korporat di bawah nama Menteri Kewangan.

Suhaimi: Dari pembacaan anda ke atas dokumen ini dan instrumen lain dalam ilustrasi dan pelaksanaan, siapa yang membuat keputusan?

Mat Noor: Menteri Kewangan (ketika itu, Najib Razak).

Suhaimi: (Merujuk kepada Mukadimah dan Seksyen 3 (1) Akta) Jadi Menteri Kewangan adalah Perbadanan?

Mat Noor: Ya.

Suhaimi: Saya tidak mempunyai soalan lanjut.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas, pihak pembelaan cuba menegaskan bahawa Menteri Kewangan Najib tidak sama dengan seluruh MoF Inc dalam membuat keputusan mengenai SRC International, yang menjadi milik penuh MoF Inc pada awal tahun 2012.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menangguhkan perbicaraan untuk hari itu, untuk menyambung semula pada pukul 9 pagi esok.


PM lantik saya sebagai penasihat untuk SRC International, kata saksi

5.00 petang: Ketika menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, Najib Razak dikatakan melantik sendiri bekas timbalan ketua perbendaharaan Mat Noot Nawi sebagai penasihat SRC International.

Mahkamah Tinggi dimaklumkan perkara itu oleh saksi ke-44, Mat Noor dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Adakah anda tahu sebarang cadangan untuk melantik anda sebagai pengarah SRC International?

Mat Noor: Tidak, saya tidak tahu. Sebaliknya saya menerima surat daripada perdana menteri (Najib) untuk melantik saya sebagai pengarah SRC International.

Semasa pemeriksaan semula, DPP Suhaimi Ibrahim menanyakan saksi tentang surat itu dan Mat Noor mengatakan bahawa surat itu hilang semasa dia berpindah dari kementerian ke Exim Bank.


4.45 petang: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah telah diberi taklimat mengenai pemindahan hak milik SRC International dari 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi memberi keterangan bahawa beliau telah menyerahkan satu salinan memo mengenai pemindahan itu kepada Husni pada tahun 2012 dan menjelaskan kepada menteri itu tentang perkara berkenaan setelah menyerahkannya untuk mendapat persetujuan oleh Menteri Kewangan Najib Razak, yang juga merupakan perdana menteri ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-44 itu mengatakan bahawa Husni tidak mempunyai bantahan terhadap pemindahan hak milik berkenaan.

Dalam keterangannya, Mat Noor juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil selepas pemilikan syarikat itu dipindahkan ke MOF Inc.

Dia mengatakan bahawa Nik Faisal telah datang ke Kementerian Kewangan untuk membincangkan aktiviti dan rancangan SRC International.


Saksi: Tak setiap masa Najib tandatangan dokumen di pejabat

4.15 petang: Dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, saksi ke-44 Mat Noor Nawi bersetuju bahawa tidak setiap masa bekas perdana menteri Najib Razak menandatangani dokumen di pejabat.

Harvinderjit: Adakah saya betul untuk mengatakan bahawa tidak setiap masa perdana menteri menurunkan tandatangan di pejabat, ia (dokumen) boleh dibawa ke perhatiannya dan dia tandatangan?

Mat Noor: Ya.

Harvinderjit: Tidak kira di mana dia (Najib) menandatanganinya selagi dia menandatanganinya, walaupun pada bonet kereta.

Mat Noor: Ya.

Soalan terakhir mengundang ketawa daripada Harvinderjit dan hadirin di galeri awam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor memberi keterangan bahawa pada 3 Feb 2012, Najib menandatangani draf memorandum Kementerian Kewangan untuk pengambilalihan SRC International oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), ketika dokumen itu di dalam keretanya di Lapangan Terbang Subang.

Mat Noor dan wakil 1MDB, Zahid Talib ketika itu menemui Najib di lapangan terbang untuk membawa draf itu ke perhatian beliau yang merupakan perdana menteri ketika itu.


Tiada usaha wajar ke atas pemindahan SRC kepada MOF Inc- Saksi

3.02 petang: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mat Noor Nawi dalam keterangannya berkata tiada usaha wajar dijalankan ke atas cadangan pemindahan SRC International kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Saksi ke-43 saksi itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

"Setakat yang saya tahu, usaha wajar ini tidak dilaksanakan ketika saya berada di sana (sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan) sehingga November 2012," katanya.


Najib tandatangani draf memo pemindahan SRC ke MOF Inc di keretanya

2.54 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak menandatangani draf memorandum pemindahan SRC International kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) ketika berada dalam kereta di lapangan terbang Subang pada 3 Feb 2012.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mat Noor Nawi berkata itulah yang dilakukan Najib apabila saksi itu dan wakil 1MDB Zahid Talib bertemu bekas perdana menteri itu agar beliau membaca dengan teliti draf memo pemindahan.

"Kereta yang membawa perdana menteri ketika itu di sebelah ruang menunggu di lapangan terbang.

"Saya keluar kawasan menunggu dan pergi ke kereta dan tunjukkan draf memo itu kepadanya dari tepi kereta.

"Perdana Menteri (Najib) melihat melalui kandungan memo berkenaan sambil berdiri di sebelah kereta.

"Selepas meneliti halaman empat (draf memo), beliau menandatangani dan buat catatan pada halaman pertama memo sambil meletakkan draf memo pada bonet kereta.

"Beliau menandatangani memo berkenaan di situ" kata Mat Noor.


Zahid Talib penghubung 1MDB dan MoF: Saksi

2.53 petang: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mat Noor Nawi berkata Zahid Talib adalah penghubungan di antara 1MDB dan Kementerian Kewangan, termasuk dalam pemindahan SRC International dari 1MDB kepada kementerian itu.

Saksi ke-44 itu mendedahkan perkara berkenaan semasa pemeriksaan utama oleh Suhaimi Ibrahim.

"Zahid adalah kakitangan 1MDB, beliau adalah pegawai perhubungan kerajaan.

"Dia adalah penghubung di antara 1MDB dan MOF dalam banyak perkara. Dia berhubung dengan saya sejak saya di Unit Perancang Ekonomi (EPU)," kata Mat.


2.45 petang: Prosiding disambung semula dengan pemeriksaan utama terhadap bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mat Noor Nawi.


1.15 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari. Prosiding akan disambung semula pada jam 2.45 petang.


Saksi terkejut Najib tandatangan draf memo untuk pemindahan SRC

12.50 tengah hari: Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi memberi keterangan bahawa beliau terkejut apabila bekas perdana menteri Najib Razak dengan segera menandatangani draf memorandum bagi SRC International untuk dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Beliau memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim ketika pemeriksaan utama bahawa Najib telah menandatangani draf memo oleh Kementerian Kewangan di Lapangan Terbang Subang pada 3 Feb 2012.

Mat Noor menambah beliau bersama wakil 1MDB, Zahid Talib ketika bertemu dengan Najib di lapangan terbang dan menyerahkan draf memo itu.

"Dia (Najib) membaca setiap perenggan draf, setiap halaman, maka saya terkejut dia menandatangani pada halaman pertama minit yang menandakan persetujuannya dengan cadangan itu," katanya.

Mat Noor berkata akibatnya beliau terpaksa kembali ke pejabat Kementerian Kewangan dan meminta setiausaha peribadi kepada menteri berkenaan untuk membuat fotokopi surat draf itu, supaya salinan kedua dengan kepala surat dan cop perdana menteri dan menteri kewangan disediakan.

Beliau menambah bahawa beliau tidak biasa bertemu perdana menteri dengan cara sebegitu, tetapi melakukannya untuk mendapat tandatangannya pada dokumen berkenaan.


Keputusan perubahan pemilikan SRC dari 'bawah ke atas'

12.30 tengah hari:  Mahkamah menyaksikan keterangan saksi terbaru dalam perbicaraan, Mat Noor Nawi yang juga bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan. 

Dalam keterangannya beliau berkata perubahan pemilikan SRC International dari 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada 2012 adalah keputusan yang dibuat 'dari bawah ke atas'.

Beliau berkata ini berdasarkan proses permohonan untuk mengubah pemilikan syarikat, yang telah diputuskan oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Menurut keterangan bekas pegawai berkenaan, Najib meminitkan satu surat pada Januari 2012 bahawa dia bersetuju dengan perubahan pemilikan itu.

Mat Noor menambah, ini sedikit berbeza daripada proses biasa di mana syarikat akan membuat permohonan mereka kepada MOF terlebih dahulu, sebelum kertas kerja diambil melalui beberapa lapisan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, menteri kewangan kedua dan jika perlu, menteri kewangan, untuk kelulusan.

Suhaimi: Dari segi amalan biasa, draf surat memproses permohonan ini, adakah ia dituju terus kepada PM atau ada prosedur perlu diikuti. Melalui sesiapa dan sebagainya?

Maliami: Kes ini sebenarnya berbeza sedikit. Dalam banyak kes, syarikat akan menghantar permohonan mereka kepada MOF. Kemudian MOF akan sediakan kertas untuk keputusan atau sokongan KSP, dan diangkat kepada FM2 (menteri kewangan kedua) dan jika perlu diangkat kepada YAB FM.

Ini saya kategorikan sebagai pendekatan pertama bottom up decision making process.


Saksi nafi beritahu pegawai bawahan bahawa SRC 'milik Najib'

12.05 tengah hari:  Bekas pegawai kementerian kewangan Maliami Hamad menafikan beliau telah memberitahu pegawai bawahan bahawa SRC International adalah milik perdana menteri.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Maliami diminta mengesahkan jika dia pernah mengatakan perkara sedemikian kepada Afidah Azwa, yang merupakan pegawai di bawah pengawasan Maliami Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan. 

 

Ini dikatakan dilakukan semasa bahagian berkenaan memproses dua jaminan kerajaan untuk SRC International bagi dua peringkat iaitu masing-masing sebanyak RM2 bilion pada tahun 2011 dan 2012.

Beliau berkata Afidah mungkin menggunakan "bahasa harian" apabila dia ingin menerangkan kepada mahkamah terdahulu mengenai apa yang dikatakan kepadanya.

"Mungkin dia guna bahasa percakapan harian to reflect bahawa SRC ini satu syarikat yang mendapat perhatian PM sendiri. Mungkin dia guna percakapan biasa," kata Maliami.

Beliau kemudian bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa apa yang dimaksudkan "sebuah syarikat yang mendapat perhatian PM" adalah sama seperti Petronas, yang mendapat perhatian khusus daripada perdana menteri.

Terdahulu, Afidah memberi keterangan di mahkamah mengatakan beliau diberitahu oleh Maliami bahawa SRC International adalah milik perdana menteri.

Beliau memberitahu mahkamah perkara itu apabila ditanya sama ada Maliami telah menjelaskan mengapa permohonan syarikat untuk jaminan kerajaan harus dipercepat oleh MOF.


Kabinet diberitahu fakta mengenai SRC sebelum jaminan diluluskan

12 tengah hari: Kabinet diberi pendedahan sepenuhnya mengenai SRC semasa mesyuarat bagi meluluskan jaminan untuk kedua-dua permohonan pinjaman.

Bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad berkata kabinet pada tahun 2011 dan 2012 diberikan semua fakta mengenai SRC International berhubung permohonan syarikat itu untuk mendapatkan jaminan kerajaan.

Ini termasuk fakta bahawa syarikat itu ditubuhkan dengan modal RM1 juta, dan ia adalah sebuah syarikat baru dan dengan itu tidak mempunyai rekod.

Maliami ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, berkata memorandum kepada kabinet untuk membincangkan permohonan jaminan kedua SRC pada tahun 2012 juga memasukkan fakta bahawa syarikat itu telah memperoleh bahagian pertama pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada tahun sebelumnya.

Shafee: Tak ada yang dibohongi to mislead the cabinet (untuk memperdayakan kabinet)?

Maliami: Betul.

Shafee: Dan memo GG2 (jaminan kedua kerajaan) ada tambahan. Ada tulis ini syarikat dulu ambil (pinjaman) RM2 bilion. Kalau ambil lagi jadi RM4 bilion. Diterang pada kabinet dengan jelas.

Maliami: Betul.


SRC bertegas mahu pinjaman liputi modal kerja

11.28 pagi: Bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad dalam keterangannya berkata SRC International bertegas agar terma pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada tahun 2012 dipinda.

"Saya tidak pasti mengapa isu itu dibangkitkan. Apa yang saya pasti adalah kami menghadapi masalah untuk mengeluarkan surat jaminan kerana surat jaminan dan terma perjanjian pinjaman dana mesti sama.

"Dalam perjanjian yang ditandatangani, terma itu adalah untuk pelaburan am dan modal kerja, jadi ia menjadi masalah.

"SRC International bertegas mahu ini dimasukkan, jadi ia menjadi masalah.

"Masalah ini berterusan sehingga pindaan itu dibuat terhadap tujuan penggunaan dana berdasarkan (mesyuarat) kabinet.

"Apabila mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memasukkan modal kerja, maka ia telah diselesaikan.

"SRC bertegas dalam mendapatkan modal kerja pelaburan," kata Maliami.

Semalam, Maliami Hamad memberi keterangan bahawa perdana menteri Najib Razak bersetuju memorandum kepada SRC International bagi penggunaan pinjamannya dibuat berdasarkan keputusan kabinet pada 8 Februari 2012.

Pada tarikh itu, kabinet meluluskan jaminan  kedua kerajaan untuk SRC International mendapatkan pinjaman RM2 bilion lagi bagi pelaburan dalam sektor sumber asli.

Menurut Maliami, syarikat itu mahu dana itu juga meliputi modal kerja. 

Perkataan "modal kerja" dimasukkan dalam perjanjian pinjaman yang ditandatangani antara SRC International dan KWAP.


Kelulusan kabinet terhadap jaminan pinjaman lebih penting - Saksi

10.50 pagi: Bekas pegawai Kementerian Kewangan, Maliami Hamad bersetuju bahawa kelulusan kabinet untuk jaminan pinjaman kerajaan kepada SRC International sebanyak RM2 bilion daripada KWAP lebih penting.

Farhan: Berdasarkan (minit kabinet pada 2012), kamu setuju bahawa apa yang lebih penting adalah anggota jemaah menteri pada keseluruhannya bersetuju untuk memberi jaminan kerajaan, manakala dokumen yang disediakan adalah formaliti semata-mata.

Maliami: Setuju.

Farhan: Ini dibuktikan di dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Feb 2012.

Maliami: Betul.


Tak tahu keputusan Panel Pelaburan KWAP dan pilihan MOF

9.30 pagi: Bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad berkata dia tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai atasannya bahawa Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah memutuskan pada tahun 2011 untuk tidak memberi pinjaman secara terus kepada SRC International, sebaliknya kepada 1MDB atau kerajaan.

Ini berlaku walaupun pegawai atasannya - Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Nurzirah Bahari - tahu mengenai keputusan itu ketika duduk dalam mesyuarat Panel Pelaburan tersebut yang membuat keputusan itu pada 19 Julai 2011.

Maliami yang pada masa itu merupakan setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read.

Maliami berkata dia tidak pernah tahu bahawa panel pelaburan KWAP membuat keputusan itu termasuk dalam pertemuan pertamanya dengan wakil SRC International pada 12 Ogos 2011 di mana mereka membincangkan mengenai permohonan syarikat itu untuk jaminan kerajaan ke atas bahagian pertama pinjaman berjumlah RM2 bilion.

Maliami berkata dia juga tidak tahu bahawa kementerian telah memutuskan untuk memilih pilihan kedua - yang mana KWAP memberi pinjaman RM2 bilion kepada kerajaan yang seterusnya akan memberi pinjaman kepada 1MDB.

Untuk makluman, pada masa permohonan pinjaman pertama oleh SRC International pada tahun 2011, syarikat itu masih merupakan anak syarikat 1MDB.

Farhan: Jadi Datuk menyatakan bahawa MGS (Malaysia Government Security) ni bawah seliaan Datuk? Dalam minit ini nyatakan apa berlaku adalah KWAP beri dua option (pilihan), dan option MGS dipilih oleh MOF (Kementerian Kewangan).

Maliami: Saya tidak punyai pengetahuan apa dibincangkan dalam panel pelaburan.

Farhan: Datuk setuju, dalam pertimbangan kedua-dua option ini, MOF akan buat kajian terhadap option yang diberikan, dan pilih option terbaik untuk kerajaan.

Maliami: Saya tidak pasti.

Farhan: Tapi dinyatakan di sini MOF pilih option B untuk MGS?

Maliami: Saya tak mengetahui cadangan ini.

Farhan: Tapi jika perkara ini benar, bahagian manakah bertanggungjawab untuk lihat option ini?

Maliami: BPKA (Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian).

Farhan: Tapi Datuk tak terlibat?

Maliami: Saya tak tahu cadangan ini. Dan saya terlibat dalam MGS.

Farhan: Nampaknya dalam perkara-perkara dinyatakan ini bawah pengetahuan TSKP dan Nurzirah?

Maliami: Betul.

Farhan: Mereka tak bincangkan dengan Datuk perkara ini sebelum mesyuarat?

Maliami: Tidak.


9.10 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh.


9.05 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sambil menunggu perbicaraan bermula.

 

Turut kelihatan di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan anggota pasukan pendakwaan serta barisan peguam Najib.

Peguam Najib Farhan Read dilihat bersedia untuk pemeriksaan balas terhadap saksi ke-43, bekas setiausaha di bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Maliami Hamad.


Pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan dijangka membantu mendedahkan lebih terpeinci apa yang dimaksudkan oleh saksi ke-43, Maliami Hamad bahawa SRC International mendapat perhatian istimewa daripada Najib dalam permohonan syarikat itu untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi mendapatkan pinjaman RM2 bilion.

Pasukan pembelaan dijangka menyoal bekas setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan itu berhubung keterangan beliau bahawa perhatian khas ini merujuk kepada jaminan untuk mendapatkan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada bulan Ogos 2011.

Semalam semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, Maliami memberi keterangan bahawa dia diberitahu untuk mempercepatkan permohonan jaminan kerajaan bagi SRC International oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abd Aziz Wan Abdullah kerana permohonan itu mendapat perhatian khas Najib.

Pihak pembelaan hari ini mungkin menyoal keterangan Maliami semalam bahawa SRC International hanya memberikan justifikasi satu perenggan dalam permohonannya untuk mendapatkan jaminan kerajaan pada sekitar tahun 2011.

Satu lagi yang mungkin diperiksa balas ialah keterangan bahawa Wan Abd Aziz dikatakan enggan menandatangani surat meminta KWAP membayar bahagian pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dikeluarkan pada awal 2012.

Dia dikatakan sebaliknya mengarahkan Maliami untuk meletakkan tandatangan di atas surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Azian Mohd Noh.