Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Royalti kukuhkan federalisme Kelantan, kerajaan pusat'

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali memberi gambaran betapa hubungan antara kerajaan Kelantan dan persekutuan diperkukuh di sebalik isu pembayaran royalti petroleum yang kini masih dalam proses penyelesaian.

Malah menurut beliau, kerajaan pusat turut berterima kasih kepada Kelantan kerana mengambil inisiatif menarik saman terhadap kerajaan dan Pertolium Nasional Berhad (Petronas) berhubung isu tersebut.

"Tindakan penarikan saman oleh kerajaan Kelantan itu membuka ruang dan memperkukuhkan lagi semangat federalisme antara Kelantan dan kerajaan persekutuan.

"Inilah hasrat yang ingin dilihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya suasana lebih kondusif diwujudkan.

“Apa yang terkandung dalam perlembagaan untuk pembayaran wang tunai atau royalti itu akan dilaksanakan segera selepas proses selesai dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob yang juga pengerusi bersama MTNg Kelantan.

Terdahulu proses penarikan saman Kelantan terhadap kerajaan pusat dan Petronas diselesai sepenuhnya pada 27 Jun lalu.

Mengulas perkara itu Ahmad berkata, dalam kes tuntutan royalti kerajaan negeri sudah memenuhi syarat dengan penarikan balik saman sebagaimana dikehendaki.

Katanya, segala proses sudah selesai dan terserah kepada kerajaan pusat untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu ditanya mengenai pelantikan Ahmad selaku pengerusi bersama MTNg, Azmin berkata, cadangan oleh kerajaan negeri itu sudah dipersetujui Dr Mahathir.

"Ia cadangan dibuat oleh kerajaan negeri kepada perdana menteri dan dah dipersetujui. Ada kewajaran untuk menteri besar menjadi pengerusi bersama kerana kita mahu penyelarasan dan kerjasama (projek pembangunan) dengan efektif," katanya.

Lihat Komen
ADS