Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC cadang KPM rakam program individu dari luar kementerian di sekolah

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan semua program yang dihadiri individu-individu yang tidak berkaitan dengan kementerian.

M Veeran berkata, ia adalah bagi mengelakkan salah faham antara pihak penganjur dengan orang ramai yang kadangkala tidak puas hati dan mendakwa program-program sedemikian disalah gunakan oleh pihak tertentu.

"Selepas kontroversi program di SMK Lunas (Kedah), saya sarankan KPM supaya membuat rakaman semua program yang dianjurkan di perkarangan sekolah yang melibatkan orang luar.

"Ini akan meringankan KPM untuk membuat sebarang rujukan terhadap program-program yang dirakamkannya, pada masa depan termasuk sekiranya ada laporan polis terhadap program tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Program ceramah motivasi di SMK Lunas, Kedah,  baru-baru ini menjadi kontroversi selepas beberapa pihak mempersoalkan kehadiran Firdaus Wong sebagai penceramah yang mencetuskan rasa kurang puas hati dalam kalangan penganut Hindu di negara ini.

Firdaus Wong yang sering memperkenalkan diri sebagai anak murid pendakwah Dr Zakir Naik didakwa membuat 'ceramah agama' kepada pelajar bukan Muslim.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mengecam kewajaran KPM membenarkan pendakwah agama seperti Firdaus berceramah dalam kalangan pelajar bukan Muslim.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada KPM sedar tentang program tersebut yang disifatkannya sebagai "pengajaran halus" yang berlaku di sekolah itu.

"Atau adakah mereka merestui program tersebut? Jika mereka tidak restui, mereka mesti siasat," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.

"Adakah kita sekarang membenarkan Islam untuk berceramah kepada kanak-kanak bukan Islam?" katanya lagi.

Bagaimanapun, Firdaus mempertikai dakwaan tersebut dengan mempertahankan dirinya bahawa dia hanya membuat ceramah motivasi.

Firdaus berkata program itu bertajuk 'Menjadi Lelaki Cemerlang' yang turut melibatkan guru-guru Islam dan bukan Islam adalah bertujuan untuk membantu pelajar melihat dari sudut yang berbeza untuk menuju kehidupan yang cemerlang tanpa menjadi materialistik.

Menyifatkan insiden ini sebagai salah faham, Veeran mendakwa pendekatan "berdiam diri" KPM dalam isu itu menyebabkan banyak pihak bertikam lidah.

"Dulu kita tidak ada isu-isu sebegini. Kalau ada pun tak banyak. Tapi, sekarang kita boleh nampak banyak perkara dibangkitkan seolah-olah, KPM tidak dikawal. Lebih menyedihkan, setiap kali adanya isu, KPM mengambil sikap 'kunci mulut'.

"Dengan menteri (Mazlee Malik) dan timbalannya (Teo Nie Ching) tidak dapat kawal isu-isu sebegini, kami (MIC) cadangkan KPM meletakkan syarat baru bahawa perlu membuat rakaman di program-program dianjurkan di sekolah," kata Veeran.

Tegasnya, dengan adanya rakaman, peluang menyalahgunakan program-program seumpamanya sangat tipis.

Lihat Komen
ADS