‘Bekas Datuk Bandar pernah tolak pembelian tanah Aset Kayamas’
KES KU NAN l Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib pernah menolak permohonan pembelian dua lot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.
Bekas Pengarah Penilaian di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) DBKL, Kamariah Ibrahim, 62, berkata keputusan itu dibuat oleh Ahmad Phesal pada 3 April 2015 atas alasan DBKL mempunyai perancangan untuk membangunkan sendiri tapak tersebut di Bandar Tun Razak itu.
Susulan itu, katanya, Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan telah memanjangkan surat bertarikh 20 April 2015 daripada Aset Kayamas kepada Datuk Bandar mengenai permohonan perintah pembangunan 1,208 unit pangsapuri di atas lot tanah tersebut.
Bagaimanapun, mesyuarat PANDU Projek-Projek Penswastaan DBKL pada 25 April 2015 memutuskan tiada halangan untuk menjual kedua-dua lot tanah tersebut, katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kelima perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri, mengapa terdapat syor untuk tidak menjual lot tanah berkenaan, Kamariah berkata tanah itu tidak dijual kerana ia dibeli daripada sebuah syarikat pemaju lain pada harga yang tinggi.
"Kita membeli (lot tanah) untuk membina asrama bersebelahan institut latihan DBKL," katanya.
Haderiah: Selepas itu bagaimana penjualan diteruskan?
Kamariah: Kemungkinan ada perbincangan antara Datuk Bandar dengan menteri (Tengku Adnan) untuk bina asrama dan memasukkan elemen perumahan sehingga mengubah keputusan dari tolak permohonan kepada tidak ada halangan untuk menjual (lot tanah).
Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
- Bernama

