Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'pura kaji prosedur rayuan pengampunan hukuman mati
Diterbitkan:  Jul 10, 2019 11:23 PM
Dikemaskini: 3:23 PM

S'pura kaji prosedur rayuan pengampunan hukuman mati

Khususnya untuk memaklumkan banduan dan pempetisyen mengenai keputusan rayuan pengampunan lebih awal sebelum pemberitahuan mengenai tarikh pelaksanaan hukuman, kata menteri undang-undang republik itu, K Shanmugam.

Singapura sedang mengkaji semula prosedur undang-undang, khususnya untuk memaklumkan banduan dan pempetisyen mengenai keputusan rayuan pengampunan lebih awal sebelum pemberitahuan mengenai tarikh pelaksanaan hukuman.

Ini berikutan pertimbangan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang rakyat Malaysia, Pannir Selvam a/l Pranthaman.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan di parlimen mengenai proses petisyen bagi pengampunan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata memang menjadi prosedur bagi tahanan dan keluarganya untuk menerima pemberitahuan mengenai keputusan pengampunan dari Pejabat Presiden dan pemberitahuan tentang tarikh pelaksanaan hukuman dari Perkhidmatan Penjara Singapura pada masa yang sama sejak 2016.

Shanmugam yang juga Menteri Undang-undang Singapura, menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Parti Pekerja, Sylvia Lim.

Lim bertanya sama ada menjadi kelaziman untuk banduan dan keluarganya menerima pemberitahuan dari Pejabat Presiden berhubung pengampunan dan notis tarikh pelaksanaan hukuman dari Perkhidmatan Penjara pada masa yang sama.

Kepada soalan lain oleh Lim mengenai purata tempoh masa dari mahkamah rayuan mengenai keputusan rayuan bagi pengampunan hingga tarikh pelaksanaan hukuman, menteri itu berkata ia "adalah sekitar satu tahun, untuk hukuman mati dalam beberapa tahun kebelakangan."

Mengenai sama ada terdapat garis panduan mengenai tempoh masa nasihat Kabinet harus diberikan kepada Presiden dan bagi Pejabat Presiden untuk menjawab rayuan pempetisten bagi pengampunan, menteri itu berkata: "Setiap petisyen bagi pengampunan dipertimbangkan dengan teliti atas meritnya sendiri.

"Tidak ada garis masa yang ditetapkan untuk Kabinet menasihatkan Presiden atau tempoh bagi Pejabat Presiden harus menjawab rayuan pempetisyen."

Mahkamah Rayuan pada 23 Mei membenarkan permohonan Pannir untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman matike atasnya.

Dalam permohonannya, Pannir antara lain menarik perhatian bahawa surat daripada Presiden Singapura yang menolak rayuan bagi pengampunan dan pemberitahuan tarikh pelaksanaan hukuman kedua-duanya bertarikh 17 Mei, 2019.

Bagaimanapun, surat yang memaklumkan kepada keluarganya mengenai pelaksanaan hukuman telah dihantar sehari sebelum itu.

Permohonan Pannir didengar di hadapan Ketua Hakim Sundaresh Menon, dan dua Hakim Mahkamah Rayuan, Judith Prakash dan Steven Chong, sehari sebelum dia dijadual menjalani hukuman mati.

Pannir disabitkan kesalahan pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84 gm diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS