BERITA Malaysiakini

Serbuk dadah dalam tapak kasut di KLIA 2

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Cubaan dua lelaki menyeludup dadah disyaki jenis syabu gagal apabila polis menemui bahan larangan itu disorokkan dalam tapak kasut salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ACP Zulkifli Adamsah, berkata lelaki berusia 27 dan 38 tahun itu ditahan di kawasan pemeriksaan mesin pengimbas kastam di tingkat 3 KLIA 2 pada awal pagi 6 Julai.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis KLIA selepas mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.

Hasilnya kata Zulkifli polis menemui 1.05 kilogram dadah (berat yang ditimbang bersama kasut kerana dadah disorokkan tanpa dibaluti plastik).

“Dadah ditemui dalam kedua-dua tapak kasut yang dimiliki suspek berusia 38 tahun manakala pemeriksaan ke atas suspek kedua tidak menemui apa-apa barang salah, dan dia ditahan kerana ada hubungan dengan suspek pertama.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek akan menaiki penerbangan ke Busan, Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan reman tujuh hari sehingga hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama