BERITA Malaysiakini

4 lagi warga Malaysia tunggu tali gantung di Singapura

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Empat rakyat Malaysia di penjara Changi Singapura dijangka menjalani hukuman gantung selepas petisyen permohonan pengampunan mereka ditolak oleh Presiden Singapura.

Mereka adalah antara 10 tahanan yang menunggu hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan berkaitan dadah, kata penasihat Lawyer for Liberty, N Surendran.

Rakyat Malaysia itu dikenali sebagai K Datchinamurthy, A Gobi, Abdul Helmi Ab Halim dan seorang yang hanya dikenali sebagai Rahmat.

"Di Singapura, kebiasannya selepas penolakan petisyen tidak akan mengambil masa yang panjang untu pelaksanaan hukuman.

"Jadi, kemungkinan banduan ini akan dilaksanakan hukuman gantung dalam tempoh beberapa minggu dari sekarang," kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah jumlah banduan yang telah ditolak permohonan pengampunan mungkin lebih tinggi.

Menyifatkan bahawa hukuman gantung kepada pengedar dadah sebagai tidak akan menghalang sindiket pengedaran bahan terlarang itu, Surendran membangkitkan soalan adakah semua kes itu dipertimbangkan oleh kabinet dan presiden.

"Di bawah hak perlembagaan bagi setiap banduan bahawa petisyen permohonan mereka dipertimbangkan secukupnya, dengan wajar dan sesuai dengan prinsip perundangan yang telah ditetapkan," katanya.

Warganegara paling tinggi

Beliau menambah kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, pada Mei lalu membayangkang tahanan Malaysia memang disasarkan.

Shanmugam dilaporkan berkata: "Bagaimana kita (Singapura) boleh mengambil mudah rakyat Malaysia dalam menghadapi statistik ini", dan "ia tidak boleh dilakukan untuk terus meminta Singapura tidak melaksanakan hukuman yang diputuskan mahkamah ".

Justeru Surendran menggesa kerajaan menghantar wakil ke Singapura bagi pihak rakyat Malaysia dipenjarakan yang menghadapi hukuman mati.

"Rakyat Malaysia merupakan warga asing paling tinggi menghadapi hukuman gantung di Changi," kata beliau.

Baru-baru ini, seorang lagi rakyat Malaysia, P Pannir Selvam, menerima penangguhan hukuman pada saat-saat akhir, sehari sebelum dia dijadualkan digantung mati di Penjara Changi pada 24 Mei.

Ia dibuat selepas mahkamah memutuskan bahawa Pannir harus diberi masa yang cukup untuk mendapatkan nasihat undang-undang selepas dia dimaklumkan tentang tarikh pelaksanaan hukuman dan penolakan petisyen pengampunan oleh presiden hanya seminggu sebelum pelaksanaan hukuman.

Surendran - yang mewakili Pannir - adalah sebahagian daripada pasukan undang-undang mencabar proses petisyen permohonan Pannir dan kegagalan Pejabat Peguam Negara Singapura untuk mengeluarkan sijil bantuan yang menyelamatkan dia daripada hukuman gantung.

[Baca berita penuh]