Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jurulatih selaman yang maut pernah diugut bunuh

Jurulatih selaman yang maut ketika aktiviti menyelam di Pulau Kalapuan, Jumaat lepas, sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah berkata ekoran itu Zainal Abdun, 31, membuat laporan polis pada tahun lepas.

Omar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kematian mangsa serta meneliti semua sudut bukti.

"Kita (polis) juga menjalankan siasatan kita ke arah laporan (polis) yang (pernah) dibuat si mati (Zainal)," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan ke lokasi Zainal bersama dua pelancong warga China ditemui mati di Pulau Kalapuan di Semporna, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Zainal bersama Zhao Zheng dan Xu Yingjie, 32, ditemui mati di Pulau Kalapuan, Semporna ketika aktiviti selaman.

Omar dalam pada itu berkata penemuan awal siasatan dan keputusan laporan bedah siasat kematian ketiga-tiga mangsa yang dikeluarkan Hospital Tawau Rabu lepas adalah selari angkara bom ikan dan polis sedang mencari saksi yang mendengar bunyi letupan pada hari kejadian.

"Finding (penemuan) awal kita adalah mangsa maut dipercayai akibat bom ikan dan hasil bedah siasat kematian pada Rabu lalu juga disahkan berpunca akibat kesan letupan bom ikan, dan ini selari dengan finding awal polis.

"Kita sekarang turut mencari saksi di pulau peranginan Kalapuan yang difahamkan ada mendengar bunyi letupan pada hari kejadian," katanya.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Omar berkata pihak berkuasa berhadapan cabaran bagi menangani aktiviti bom ikan yang semakin berleluasa sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

"Penguatkuasaan tidak dapat dijalankan secara efektif disebabkan perairan (Sabah) yang begitu luas.

"Nelayan yang menggunakan bahan letupan ini juga begitu bijak, mereka menggunakan bot kecil yang senang lolos dengan melalui kawasan terumbu karang dan bot kita (penguat kuasa) tidak boleh lalui," katanya.

Namun, katanya cabaran itu bukan petanda polis serta pihak berkuasa lain akur dengan kekangan dihadapi, sebaliknya usaha akan dilipat ganda bagi menangani masalah tersebut.

Selain itu, Omar bersetuju dengan keperluan pemantauan keselamatan oleh agensi keselamatan di tapak-tapak selaman terutamanya di kawasan yang 'tidak biasa' dijadikan tapak aktiviti menyelam.

"Kita minta mereka ini (pengendali perkhidmatan pelancongan selaman) melaporkan kepada agensi keselamatan berkaitan aktiviti mereka ke tapak selaman untuk mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan semua pengusaha pelancongan memiliki lesen sebelum beroperasi.

"Begitu juga para pelancong yang mahu berkunjung ke pulau-pulau misalnya di Semporna atau melakukan aktiviti selaman, perlu memastikan bahawa ‘company’ (syarikat) yang mereka ‘engage’ (upah) itu syarikat pelancongan yang berlesen," katanya lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS