UNHCR mulakan kempen pelarian global di Malaysia
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mengumumkan akan memulakan kempen pelarian global di Kuala Lumpur Ahad ini.
Kempen 'Melangkah Bersama Pelarian' itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai perjalanan pelarian dan soal keselamatan mereka yang dijadual berlangsung di Publika Mall.
"Kempen gobal ini muncul apabila UNHCR mengesan perjalanan pelarian di seluruh dunia dan setelah dihitung bahawa secara kolektif, perjalanan pelarian kira-kira dua bilion kilometer setiap tahun untuk sampai ke tempat perlindungan.
"Kempen ini mengajak orang ramai untuk bersolidariti dan berlari, berjalan, berbasikal untuk mencapai jumlah sebanyak dua bilion kilometer menjelang akhir 2020," kata UNHCR dalam satu kenyataan hari ini.
Peserta boleh menggunakan aplikasi kecergasan atau melayari laman web kempen - www.stepwithrefugees.org.
Pertubuhan itu menambah acara di Malaysia itu dimulai dengan beberapa siri kelas senaman yang akan mengesan bilangan langkah yang diambil peserta.
"Selain itu, kempen ini juga secara meluas menggalakkan orang ramai untuk menyokong pelarian melalui solidariti, mengukuhkan persahabatan, keakraban dan simpati untuk pelarian,"katanya.
UNHCR juga bekerjasama dengan Art Battle Malaysia untuk menganjurkan pertandingan lukisan bersama 10 artis pelarian muda daripada kumpulan seni, Canvassing or Confidence.
Art Battle adalah acara pertandingan seni yang diadakan di seluruh dunia.

