Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu diberi masa tambahan 3 bulan lengkapkan syarat e-hailing

Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memberikan masa tambahan selama tiga bulan kepada pemandu e-hailing bagi memenuhi syarat-syarat untuk meneruskan perkhidmatan mereka, termasuk mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

“Jemaah menteri yang bersidang hari ini telah memutuskan supaya penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan soft-landing.

“Bermakna, semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan masih dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka selama tiga bulan mulai hari ini," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas Loke, kementerian pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik untuk tempoh tiga bulan ini.

"Mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat akan diberikan nasihat, pendidikan dan amaran terakhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat,” katanya.

Mulai hari ini, semua pemandu e-hailing diwajibkan mematuhi beberapa syarat, antaranya memiliki lesen PSV, membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom untuk kenderaan atas tiga tahun, dan memiliki permit kenderaan e-hailing (EVP).

Perkembangan terbaru ini bermakna semua pemandu e-hailing boleh meneruskan pekerjaan mereka dan perlu melengkapkan kesemua syarat yang diperlukan sebelum 12 Oktober depan.

Lihat Komen
ADS