Jual aset Khazanah: Najib sangkal jawapan Azmin
Bekas perdana menteri Najib Razak menyangkal kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkenaan penjualan pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat air dan tenaga Arab Saudi.
Beliau merujuk kenyataan Azmin bahawa Khazanah mempunyai peranan untuk meningkatkan pelaburan domestik dan akan memberi tumpuan kepada aspek itu.
Najib bagaimanapun membangkitkan laporan Bernama minggu lalu berhubung peluasan pelaburan Khazanah di Amerika Syarikat, selain beberapa penjualan beberapa pegangan dalam negara sebelum ini.
"Sejak bila Amerika Syarikat dianggap sebagai domestik?
"Kenapa pula Khazanah jual IHH Berhad yang disenaraikan di Malaysia itu kepada Jepun dengan harga RM8.4 bilion tahun lepas?
"Azmin sudah lupa penjualan saham CIMB (RM364 juta) dan Tenaga (RM1.05 bilion) milik Khazanah awal tahun? IHH, CIMB dan Tenaga itu adalah syarikat asing ke?" soalnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Hari ini, Azmin berkata Khazanah akan dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaburan domestik selepas penjualan pegangan dalam Desaru Investments (Cayman Islands) Ltd (DIL) kepada Malakoff Corp Bhd milik Syed Mokhtar Al-Bukhary yang melibatkan urus niaga AS$70 juta.
"Khazanah akan memberikan penjelasan berkenaan sebab mereka perlu melihat kepada aktiviti teras (syarikat itu)," katanya.
Berkenaan pelaburan Khazanah di Amerika Syarikat, Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pelaburannya Tengku Azmil Zahruddin dilaporkan berkata syarikat itu pada masa sama akan terus melabur secara aktif di Malaysia, negara-negara Asia Tenggara, serta China dan India.
Beliau juga berkata tumpuan pelaburan adalah dalam firma teknologi yang menggunakan analitis data dengan peluang membawa pulang teknologi untuk digunakan di Malaysia.
Berkenaan penjualan dalam IHH, laporan The Star pada 29 November memetik Khazanah sebagai berkata, pihaknya kekal menjadi pemegang saham yang signifikan - dengan 26.05 peratus pegangan - dengan perwakilan dalam lembaga IHH.
Dalam pada itu, Najib juga membangkitkan rancangan penjualan PLUS Berhad yang dilaporkan sedang dalam perbincangan.
"Kenapa hampir semua menteri PH mengamalkan dasar lidah bercabang? Mereka ingat senang untuk tipu rakyat, atau rakyat mudah lupa?
"Kalau niat adalah untuk jual aset negara secara lambak, cakap sahaja," katanya lagi.

