Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seorang lagi suspek kes pukul pengusaha kilang plastik ditahan

Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pukul pengusaha kilang plastik pada 2 Julai lepas, dalam satu serbuan di Taman Cendana, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzly Abu Shah berkata lelaki berumur 45 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan pada 1.30 pagi tadi dalam serbuan berkenaan.

"Untuk makluman, ini adalah suspek kes pukul di kilang plastik dulu yang melarikan diri. Dalam tangkapan ini tidak melibatkan sebarang rampasan dan lelaki tersebut juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzly berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki cedera akibat dipukul tiga lelaki di Kawasan Perusahaan Sungai Petani dipercayai kerana mendedahkan kegiatan operasi haram sebuah kilang kitar semula di situ.

Dalam kejadian pada 4.15 petang itu, mangsa yang berusia 51 tahun dikatakan dipukul di dalam pejabat kilang kitar semula itu yang terletak berhadapan kilang mangsa.

Sehubungan itu, dua suspek yang berumur 43 dan 49 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan masing-masing didenda RM1,500 setelah mereka mengaku salah Ahad lepas kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengusaha kilang itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS