Paling Popular
Terkini

Piagam bersama PAS dan Umno belum dapat dimuktamadkan, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, kelewatan memuktamadkan piagam itu disebabkan kedua-dua parti terpaksa menangguhkan mesyuarat mereka beberapa kali.

"Kita belum muktamadkan piagam antara PAS dan Umno.

“Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tapi tertangguh lagi sebab ada pengundian pindaan pelembagaan sampai malam, kita tangguh dahulu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Takiyuddin Hassan

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bulan lalu berkata, pengisytiharan dokumen rasmi piagam PAS dan Umno akan dibuat pada penghujung Julai ini.

Katanya, proses pembentukan dokumen itu kini memasuki fasa akhir dengan mesyuarat jawatankuasa induk kali kedua yang dianggotai 11 wakil daripada setiap parti.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Takiyuddin menegaskan piagam bersama itu akan dimuktamadkan dengan kadar segera.

"Kita akan buat secepat mungkin dalam bulan ini juga,” katanya.

Piagam Umno dan PAS itu diusahakan bagi mengukuhkan kerjasama kedua-dua parti dalam bentuk lebih rasmi.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama yang dirujuk sebagai taawun secara terbuka dalam siri-siri pilihan raya kecil selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini memberi gambaran kedua-dua parti akan bergabung bagi menghadapi PRU ke-15.

Lihat Komen
ADS