Pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin hari ini berjumpa dengan pihak unit teknikal siasatan dan risikan Jabatan Penjara.

Sebelum ini, Wan Ji mendakwa dipukul warden penjara ketika dalam tahanan susulan sabitan kesnya di bawah Akta Hasutan.

Berkongsi hantaran di Facebook, Wan ji berkata dia telah memaafkan kakitangan penjara yang menumbuknya dan tidak memendam sekelumit pun rasa dendam di hatinya.

“Secara peribadi, saya sudah memaafkan dia dan tidak ada sedikit pun rasa dendam dalam hati saya. Malah, saya berharap suatu masa nanti saya dapat berkawan dengan si pemukul tersebut,” katanya.

Pendakwah kelahiran Kelantan itu berkata tindakannya mendedahkan kejadian itu supaya pegawai terbabit tidak melakukan kesalahan sama terhadap orang lain.

Wan Ji berharap tindakan yang diambil terhadap warden yang didakwa menumbuknya itu tidak sampai diberhentikan daripada kerja.

“Saya berkali-kali pesan, agar tindakan terhadap si pemukul jangan sampai dia dibuang kerja.

"Kalau boleh, cukup sekadar amaran agar dia tidak mengulangi perkara yang sama kepada orang lain," jelasnya.

Selain hantaran berkenaan, Wan Ji turut berkongsi gambar dia sedang minum bersama Timbalan Penguasa Penjara Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Ahmad hahrul Mat Nasir.

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji berhubung hukuman sembilan bulan penjara kerana sabitan terhadap pertuduhan menghasut dan menghina Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Selepas dua hari menjalani hukuman penjara, hukuman penjara Wan Ji ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan yang difailkan peguamnya.