Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang Jo: Hormati keputusan Wong letak jawatan kabinet S'wak
Diterbitkan:  Jul 16, 2019 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menghormati keputusan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh untuk meletakkan jawatan bagi semua jawatan kabinetnya.

Abang Johari berkata, pada beberapa majlis PSB baru-baru ini ia mungkin kelihatan tidak betul secara politik tetapi secara peribadi Wong telah menyumbang banyak kepada negeri ini, bukan sahaja sebagai anggota kabinet malah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Kita perlu menghormati keputusan beliau. Itu pilihan beliau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai IT di Asia 2019 kali ke-11 di Kuching, hari ini.

Semalam, Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Abang Johari secepat mungkin bagi menyatakan hasratnya.

Wong menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan “mendapatkan nasihat Ketua Menteri” dalam ucapannya pada perhimpunan tahunan perwakilan PSB di Sibu pada Sabtu (13 Julai) adalah bukannya sama ada beliau patut meletakkan jawatan, sebaliknya ia budi bahasa.

Dikenali sebelum ini sebagai Parti Bersatu Rakyat (UPP), PSB adalah sebuah parti serpihan daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Parti berkenaan, yang bukan sebahagian daripada parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS), digegarkan dengan pengecualiannya daripada senarai baru ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri ini minggu lepas.

Ini disusuli dengan peletakan jawatan mengejut Timbalan Presidennya, Dr Jerip Susil, yang juga Menteri Muda Pengangkutan pada Khamis (11 Julai).

Ditanya mengenai pengganti Wong, Abang Johari berkata beliau akan bertemu dengan Wong dahulu dan beliau tidak menolak kemungkinan akan terdapat jawatan lain menunggu beliau.

“Saya akan menemui beliau (Wong) dalam beberapa hari lagi. Lihat sahaja nanti,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS