Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dilaporkan sudah bercerai dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko.
Menurut laporan New Straits Times hari ini, sumber mengesahkan penceraian itu dimuktamadkan pada 1 Julai lalu, susulan pemfailan cerai di Mahkamah Syariah Singapura pada 22 Julai.
Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan pasangan yang berkahwin kira-kira setahun lalu itu telah bercerai talak tiga.
Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita sebentara tadi berkata kerajaan negeri tiada maklumat rasmi berkenaan perkara itu.
Istana Kelantan semalam dalam kenyataan memaklumkan tiada siapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa pengumuman rasmi daripada pihak istana.
Ini merupakan kenyataan pertama dari Istana Kelantan selepas lapan bulan berkaitan khabar angin melibatkan Sultan Muhammad V dan perkahwinnanya, yang juga dipenuhi tanda tanya.
Ketika itu, Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong ke-15 sebelum meletakkan jawatan pada 6 Januari lalu.
Mutakhir ini, sebuah akaun Instagram dengan nama 'rihanapetra' kerap membuat hantara berkenaan kisah hidup bekas ratu cantik Moscow itu dengan Sultan Muhammad V.
Ia termasuk satu hantaran bertarikh 4 Jun lalu berkenaan kelahiran anak sulungnya iaitu Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Faris Petra yang disifatkannya sebagai ‘bakal raja Kelantan’.
