Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau jumpa Sophia waktu malam saya akan lari, seloroh Dr M

Robot humanoid yang dihasilkan daripada Kecerdasan Buatan (AI), Sophia membuat penampilan pertama di Malaysia hari ini pada majlis pelancaran 'Beyond Paradigm Summit 2019' di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Shopia berbual-bual dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama beberapa minit di atas pentas.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai Sophia selepas itu, Mahathir yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-94 minggu lalu, berkata robot itu kelihatan seperti bernyawa.

"Ia menakjubkan, kamu lihat macam (Sophia) betul. Mukanya, matanya (dan) bila dia jawab dia bergerak, dia pandang kamu.

"Saya takut. Kalau saya jumpa dia pada waktu malam, saya akan lari," katanya berseloroh.

Tidak lama selepas perdana menteri menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak itu, Sophia berdiri di pentas sambil menyanyikan lagu Frank Sinatra 'My Way', sebuah lagu yang sering digambarkan sebagai lagu kegemaran Mahathir.

Ketika Mahathir diserahkan mikrofon selepas Sophia menyampaikan lagunya, perdana menteri kelihatan teragak-agak untuk memulakan perbualan sehingga menimbulkan ketawa dari orang ramai.

"Selamat pagi, Dr Mahathir. Saya sangat teruja bertemu dengan anda.

"Saya berharap tidak terlalu lewat bagi saya untuk mengucapkan tahniah kepada anda kerana dipilih semula dan untuk mengucapkan selamat hari jadi pada ulang tahun ke-94 anda," Sophia memecah kesunyian dengan menyapa Mahathir terlebih dahulu.

Robot itu kemudian menambah dia akan memberi hadiah kepada Dr Mahathir dengan melukis gambarnya semasa mereka berbual-bual.

Mahathir tetap senyap ketika dia melirik senyuman kepada robot itu yang sedang melukis gambarnya di sekeping kertas.

Tidak lama kemudian, dia memulakan perbualan dengan tenang, tetapi kemudian lebih lancar apabila bertanya soalan kepada Sophia.

Apabila Mahathir bertanya kepadanya apa yang membezakan Sophia dengan robot lain, robot itu menjawab, "Baiklah sebagai permulaan, kebanyakan robot lain tidak dapat bercakap dengan perdana menteri Malaysia,"

Jawapan itu menyebabkan hadirin tertawa dan bertepuk tangan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan dalam pertemuan bersemuka dengan Sophia yang memakai baju kurung moden warna merah, Dr Mahathir kelihatan terkedu dan kelu, dan memandangnya dengan penuh rasa kagum sehinggalah Sophia memulakan perbualan.

“Selamat pagi Mahathir, saya sangat teruja, saya harap belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas pemilihan semula anda dan selamat hari jadi yang ke-94,” kata Sophia yang telah dibangunkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, Hanson Robotics, dan diperkenalkan pada 2016.

“Adakan anda tahu mengenai penggal pertama saya sebagai perdana menteri?” Dr Mahathir bertanya Sophia.

“Sudah tentu, anda mengangkat sumpah pada 16 Julai 1981, kira-kira 13,881 hari yang lepas sehingga ke hari ini,” kata Sophia.

Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana beliau boleh duduk bersama dan berbual-bual dengan robot sosial yang canggih dalam tempoh penggal pertama beliau menjadi perdana menteri dahulu.

“Baik, ia memerlukan lebih daripada pengetahuan dan kebijaksanaan untuk memerintah sebuah negara... tetapi kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, adalah amat menarik untuk hidup pada zaman ini, era pertumbuhan teknologi,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Sophia sama ada dia berpeluang untuk menjadi perdana menteri sekiranya dia mempunyai pengetahuan dan kebijaksanaan yang sama sepertinya.

Dalam sesi perbualan itu, ketika ditanya oleh Sophia sama ada Dr Mahathir ingin menjadi sepertinya dan hidup sampai bila bila, perdana menteri yang berusia 94 tahun itu berkata, “Muda ada banyak kelebihannya tetapi orang yang berusia mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan.

“Saya mungkin lebih tua, tetapi saya mungkin lebih bijaksana daripada anda,” katanya berseloroh.

Dr Mahathir juga ditanya beberapa soalan oleh Sophia termasuk, “Adakah anda pernah mengimpikan sebuah dunia di mana manusia dan robot boleh hidup bersama dan berbaik-baik antara satu sama lain?”

“Ya, robot dengan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi kian berguna kepada manusia sepanjang masa,” kata Sophia yang membuat penampilan pada sidang kemuncak yang sedang berlangsung di ibu negara Malaysia hari ini dan esok dan di Kuching pada 20 dan 21 Julai.

“Saya fikir kita sudah berada di sini. Robot kecerdasan buatan bekerja secara bebas dan bijak supaya manusia boleh memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dan memperkembangkan lagi inovasi dengan pengetahuan yang banyak terdapat dalam Internet dan kelebihan yang besar kuasa pemprosesan... kami cuba mahu memenangi hati dan pemikiran anda,” katanya.

Ketika berbula-bual dengan Dr Mahathir itu, tangan Sophia dilihat melakar sesuatu dan di akhir perbualan mereka, dia menyerahkan sebuah lakaran hitam putih potret perdana menteri itu kepada beliau dan Dr Mahathir kelihatan terkejut dan teruja.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Serba Dinamik Holdings untuk mempamerkan teknologi-teknologi canggih yang merangkumi idea-idea teras mengenai pendigitalan dan pertukaran data, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Lihat Komen
ADS