Pengkelasan kes Beng Hock kerana bukti tak cukup - AG
Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan pengkelasan semula kes Teoh Beng Hock di bawah kesalahan mengurung seseorang secara salah dan bukan bagi kesalahan membunuh adalah semata-mata satu prosedur pentadbiran.
Dalam satu surat kepada Ramkarpal Singh yang mewakili keluarga Teoh, Thomas menjelaskan tiada bukti mencukupi untuk mengkelaskan kes itu bawah kesalahan membunuh.
Surat berkenaan sebagai balasan kepada surat terdahulu yang dihantar Ramkarpal kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Arahan jabatan ini kepada polis untuk membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan hanyalah prosedur pentadbiran.
“Keputusan ini adalah perlu kerana walaupun dengan pelbagai penyiasatan oleh pegawai di jabatan ini, yang paling baru pada Mac 2019, bukti pada masa sekarang tidak cukup untuk mengkelaskannya bawah Seksyen 304 atau 304 A Kanun Keseksaan,” katanya yang merujuk dapatan yang diperoleh daripada Mahkamah Rayuan pada 2004.
Bagaimanapun, tambahnya, hal itu tidak menghentikan usaha pasukan penyiasat daripada mendapatkan lebih banyak bukti.
“Pengkelasan terbaru ini tidak menghalang, dalam apa cara sekalipun, para penyiasat untuk menyiasat tentang kebenaran kes ini, atau siapa yang terlibat dalam kematian Teoh,” katanya lagi.
[Berita penuh menyusul]

