Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menggagalkan cubaan seludup keluar 260 ekor burung Murai Batu ke negara jiran, dua hari lepas.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata kesemua burung berkenaan ditemui dalam 23 sangkar di kawasan Hentian Rehat Layang, Lebuhraya Senai-Desaru.

"Berdasarkan maklumat awam, pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor menemui kesemua haiwan tersebut pada kira-kira 2 pagi yang dipercayai sedang dalam siap sedia untuk dipindahkan kepada penyeludup sebelum dihantar menggunakan jalan laut ke Indonesia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salman berkata tiada tangkapan dilakukan kerana suspek berjaya melarikan diri dari ditahan pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor.

Beliau berkata kawasan Hentian Rehat Layang menghala ke Bandar Penawar, Kota Tinggi, dipercayai dijadikan kawasan penyerahan hidupan liar itu kerana kawasan tersebut mempunyai banyak laluan keluar alternatif untuk mengelakkan ditangkap pihak berkuasa.

Katanya, Murai Batu mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan boleh dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada kecantikan serta kemerduan suaranya.

"Murai Batu merupakan spesies yang dilindungi di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Sesiapa yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Sehubungan itu, Salman menggesa orang ramai terus bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat kepada Perhilitan Johor bagi mencegah kegiatan jenayah hidupan liar.

- Bernama