Cerai talak tiga Sultan Muhammad V ke atas bekas Ratu Cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko dibuat dengan kehadiran dua orang saksi beragama Islam.
Peguam kepada Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua dipetik Sinar Harian sebagai menafikan dakwaan Rihana yang mengatakan dia tidak mengetahui dirinya sudah diceraikan.
“Baginda bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko dengan kehadiran dua orang saksi Islam yang berwibawa berdasarkan undang-undang syariah.
“Mahkamah Syariah Kelantan telah memberikan kebenaran untuk perceraian serta mengeluarkan sijil perceraian pada 1 Julai lalu.
“Rihana dimaklumkan tentang perceraian yang tidak boleh ditarik balik itu pada 22 Jun melalui peguamnya, Alexander Dobrovinsky & Partners Rusia dan satu salinan sijil perceraian telah diberikan kepadanya melalui peguamnya pada 20 Julai lalu,” katanya dilaporkan sebagai berkata.
Semalam, Koh membuat pengesahan mengenai cerai talak tiga Sultan Kelantan ke atas Rihana.
Menurut Koh firma guamannya sudah menghantar surat cerai talak tiga terbabit kepada pihak peguam Rihana.
New Straits Times (NST) dalam sebuah laporan sebelum ini memetik sumber menyatakan pasangan itu bercerai pada 22 Jun lalu, manakala pemfailan cerai adalah pada 1 Julai di Mahkamah Syariah Singapura.
Rihana bagaimanapun menafikan sudah bercerai dan turut membidas pihak yang menyebarkan sijil perceraian membabitkan dirinya dan Sultan Muhammad V.
Wanita berusia 26 tahun itu menjelaskan dia tidak ke Singapura pada Jun bagi tujuan itu sebaliknya hanya bersama cahaya matanya yang baru dilahirkan di Rusia.
Selain itu, portal berpangkalan di Singapura, berita.mediacorp.sg yang memetik kenyataan Mahkamah Syariah Singapura pada 19 Julai berkata, mahkamah itu tidak mempunyai rekod perceraian difailkan Sultan Muhammad V dan Rihana.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Rihana mendakwa dia tidak pernah mendengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka dengan dirinya.
Untuk rekod, seseorang isteri tidak perlu hadir ke mahkamah syariah untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan kerana suami boleh melafazkan cerai di luar mahkamah sebelum ia direkodkan.
Pengesahan terbaru peguam Sultan Muhammad V itu dilihat menjawab persoalan melibatkan status perkahwinan Sultan Muhammad V dengan Rihana.
Pada Nov tahun lalu, gambar perkahwinan baginda dengan bekas ratu cantik Rusia itu tular di media sosial. Berita perkahwinan itu juga mendapat liputan pelbagai media antarabangsa.
Pada 6 Jan tahun ini, Sultan Muhammad V menggemparkan negara apabila meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
