Parlimen tidak perlu dibubarkan lebih awal kerana sistemnya masih berfungsi dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan PH masih mempunyai tempoh selama empat tahun untuk meneruskan pentadbiran negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lepas.

"Kenapa perlu bubar sedangkan ia berjalan dengan baik? Apa yang perlu dibubarkan adalah agenda sempit yang cuba merosakkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di Parit Buntar hari ini.

Mujahid mengulas mengenai gesaan PAS supaya parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU ke-15 berlangsung lebih awal.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menggesa PH membubarkan segera parlimen kerana didakwanya gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.

Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar berkata PRU juga tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan dengan politik kotor dan menjijikkan terutama dalam dakwaan kes video lucah, rogol dan rasuah.

"Isu video lucah dan rasuah untuk menjatuhkan seseorang telah memberikan impak dan membuatkan orang ramai menjadi mual dan sudah tentu memberikan kesan secara tidak langsung kepada kerajaan.

"Saya tidak berpihak kepada sesiapa kerana politik kotor dan jijik modalnya cuba untuk mendedahkan perkara yang mengaibkan dan menjatuhkan seseorang," katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata pihaknya memberikan sumbangan RM50 seorang kepada 200 pelajar di kawasan parlimen Parit Buntar untuk membuka akuan simpanan dalam Sijil Simpanan Pendidikan Negara (SSPN).

Katanya ia bertujuan membantu ibu bapa keluar dari kemiskinan melalui pendidikan anak dengan menampung kos pendidikan yang semakin meningkat.

- Bernama