Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan telah merakam keterangan seorang Adun dari Selangor mengenai siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan menteri Kabinet.

Sinar Harian memetik Huzir berkata Adun tersebut hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini.

"Adun lelaki berusia 34 tahun itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi tadi dan selesai pada jam 11.30 pagi," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan polis dijangka akan menyiasat seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PKR berkaitan kes video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi Azmin Ali.

Sebelum ini, Adun itu telah pun dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman supaya percakapannya dapat dirakam.

Bagaimanapun, dipercayai wakil rakyat itu ialah Adun Kota Anggerik Najwan Halimi.

Pada 20 Julai, Najwan menafikan menjadi dalang dalam kes video seks sejenis itu.

Menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, beliau berkata ia permainan minda di media sosial untuk mewujudkan perpecahan.

Dakwaan tersebut tercetus selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dipetik oleh Bernama yang mengatakan seorang Adun Selangor juga disiasat polis berhubung kes itu.

Hamid juga dilaporkan berkata pemimpin dari sebuah parti politik merupakan dalang di sebalik "komplot jahat" untuk merosakkan reputasi Azmin.

Najwan sebelum ini dikatakan bersama kem Azmin, tetapi berpecah dan bertanding sebagai "kuasa ketiga" pada pemilihan Pemuda PKR (AMK) tahun lepas.