Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-42 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Peguam tanya mengenai perbualan antara Jho Low dan saksi

5 petang - Bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah beliau mengandaikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dan Pengarah SRC International, Jerome Lee terpaksa mendapatkan kelulusan Jho Low dalam beberapa perkara.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh mengenai beberapa siri perbualannya dengan Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho pada tahun 2014.

Salah satu mesej perbualan yang dirujuk ialah perbualan di mana Yu bertanya Low jika dia boleh mendapatkan beberapa surat daripada Ung dan Lee.

Saksi bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa mesej tersebut adalah berkenaan dia meminta Low mengarahkan dua yang lain itu untuk mengemukakan dokumen yang belum mereka serahkan kepadanya.

Harvinderjit: Jadi kamu tahu mereka terpaksa pergi ke Jho (Low) untuk mendapatkan pelepasan?

Yu: Saya andaikan.

Harvinderjit: Itu persepsi kamu?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Itu persepsi kamu, mereka perlu semak dengannya dahulu?

Yu: Ya.


4.30 petang: Perbicaraan bersambung semula.


4.10 petang: Mahkamah berhenti rehat.


Saksi digesa letak jawatan di AmBank sebab terlibat akaun Najib

3.45pm - Joanna Yu Ging Ping digesa untuk meninggalkan AmBank pada tahun 2015, mendakwa ditekan selepas serbuan Bank Negara terhadapnya.

Bekas pengurus perhubungan AmBank bersetuju dengan dakwaan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa dia diminta meninggalkan bank tersebut kerana terlibat dengan akaun perdana menteri Najib Razak.

 

Mahkamah sebelum ini mendengar pada 6 Julai 2015, AmBank cawangan Jalan Raja Chulan diserbu oleh Bank Negara, yang antara lainnya merampas dokumen bank berkaitan dengan akaun Najib.

Saksi ke-54 berkata dia membaca laporan media bahawa pada tahun itu AmBank didenda kerana kegagalannya untuk memfailkan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR).

Joanna: Saya berhenti pada tahun 2015. Saya membaca di akhbar bahawa mereka (AmBank) telah didenda. Saya diminta untuk berhenti.

Harvinderjit: Adakah ini disebabkan oleh penglibatan kamu dengan akaun Najib (di AmBank)?

Joanna: Pihak (AmBank) dikenakan tekanan yang hebat.

Semasa pemeriksaan balas ini, DPP V Sithambaram berdiri dan mengingatkan Harvinderjit bahawa Yu telah menandatangani perjanjian sulit, yang mana peguam kemudian bersetuju untuk tidak meneruskan bertanya mengenai perkara itu.

Difahamkan bahawa kakitangan bank, sama ada yang masih aktif atau sudah tidak lagi berkhidmat, perlu menandatangani perjanjian sulit untuk tidak mendedahkan antara lainnya perkara berkaitan dengan operasi perbankan.

Pelanggaran perjanjian ini mungkin akan menyebabkan kakitangan atau bekas kakitangan berhadapan hukuman tegas. 


Pegawai AmBank rujuk Jho Low mengenai akaun Najib

3.30pmMahkamah mendengar daripada bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping bahawa dia akan merujuk ahli perniagaan Low Taek Jho apabila akaun Najib Razak tidak mempunyai baki mencukupi untuk menjalankan transaksi.

Di bawah pemeriksaan balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh, Joanna berkata dalam kes-kes yang mana mereka hanya perlu memindahkan dana antara tiga akaun Najib di bank itu, dia biasanya akan menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil.

Kata Joanna, ini Nik Faisal, yang merupakan pemegang amanah untuk akaun Najib, boleh mengarahkan pemindahan antara akaun itu.

Joanna memberitahu mahkamah dia juga akan menghubungi Jho Low sekiranya tidak dapat menghubungi Nik Faisal.

Harvinderjit: Jadi maksud saya begini. Rujukan pertama kamu apabila (berhadapan situasi) pengeluaran berlebihan adalah dengan menghubungi Jho Low? Setuju?

Joanna: Tidak sepenuhnya.

Harvinderjit: Bahagian mana yang anda tidak setuju?

Joanna: Sekiranya terdapat dana (tetapi memang ada dana) cuma dalam akaun yang berlainan, kami akan menghubungi Nik. Tidak memerlukan sesiapa lagi. Dia boleh mengarahkan pemindahan (di antara akaun tersebut).

Harvinderjit: (Jadi kamu menghubungi Jho Low ketika) sama ada (akaun itu) mempunyai baki mencukupi atau apabila kamu tidak dapat menghubungi Nik Faisal?

Joanna: Ya.


DPP gelar peguam Najib 'menyedihkan'

3.24pm - Suasana mahkamah hangat apabila Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram menggelar peguam bela Najib, Harvinderjit Singh sebagai 'menyedihkan' (pathetic).

Sithambaram mengucapkan kata-kata itu selepas membantah Harvinderjit menyoal bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, di mana peguam bela itu terus mencelah percubaan saksi untuk menjelaskan jawapannya.

Sithambaram: Kamu cukup menyedihkan (kata DPP selepas dia duduk, yang didengari oleh Harvinderjit dan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali).

Harvinderjit: Tolong sedikit ya (excuse me - katanya semasa berdiri dan ketika sedang melakukan pemeriksaaan balas terhadap Joanna).

Bagi meredakan keadaan, Nazlan memberitahu DPP untuk "mengelakkan pemerian (description) sedemikian di mahkamah".

"Saya minta maaf, yang arif," kata Sithambaram memberitahu hakim.


Pendakwaan bantah pembelaan cuba bataskan keterangan saksi

3.14pm - Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Budiman Lutfi Mohamed membantah pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh yang dilihatnya sebagai cuba membatasi cubaan bekas pengurus perhubungan AmBank daripada memberikan jawapannya.

"Barangkali peguam (Harvinderjit) boleh bersikap lebih lembut dengan saksi," kata Budiman.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengingatkan bahawa saksi ke-54 itu cuma menjawab pertanyaan Harvinderjit dengan setuju atau tidak setuju kecuali jika peguam mencari penjelasan.

Harvinderjit kemudian memberitahu bekas pegawai bank itu bahawa kecuali dia meminta penjelasan lanjut, maka jawapan yang sepatutnya diberikan saksi adalah setuju atau tidak setuju atau ya atau tidak.

Peguam itu menyoalnyua mengenai perbezaan di dalam kenyataan saksinya yang telah diserahkan dan draf kenyataan saksinya, yang sebelum ini dibenarkan untuk diserahkan oleh Nazlan.


Mahkamah tolak pendakwaan bantah guna versi draf kenyataan saksi

2.50pm - Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak bantahan oleh pihak pendakwaan terhadap pembelaan yang merujuk kepada draf kenyataan saksi Joanna Yu Ging Ping dalam pemeriksaan balas mereka terhadap saksi pendakwaan ke-54 itu.

Dalam keputusannya, hakim berkata mahkamah mengambil maklum bantahan pihak pendakwaan berdasarkan Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang menetapkan penerimaan dokumen yang tidak ditandatangani untuk diputuskan sebagai bukti di mahkamah.

Bagaimanapun, Nazlan menjelaskan mahkamah mendapati Seksyen 402B CPC tidak terpakai dalam perkara tersebut kerana pembelaan tidak bergantung pada dokumen yang tidak ditandatangani untuk dimasukkan sebagai kenyataan saksi, tetapi sebaliknya mencari untuk menggunakannya dalam pemeriksaan balas mereka.


SPRM tiada kuasa halang AmBank serah dokumen pada Najib - Hakim

2.45pm -  Mahkamah memutuskan SPRM tidak dapat menghalang bekas perdana menteri Najib Razak daripada mendapatkan salinan dokumen perbankannya daripada AmBank.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam keputusannya terhadap permohonan oleh pasukan pembelaan terhadap surat SPRM yang mengarahkan AmBank untuk merujuk kepada mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan mendapatkan dokumen perbankan yang berkaitan dengan kes Najib.

Hakim berkata tiada peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM dan Akta Perkhidmatan Kewangan yang memberikan SPRM kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau menjelaskan pendakwaan juga tidak terkesan dengan tindakan pihak bank menyediakan salinan dokumen kepada Najib, manakala tiada yang dapat menghalang SPRM daripada merampas dokumen-dokumen asal dalam menjalankan siasatan mereka.

"Untuk memastikan integriti dan proses perbicaraan yang adil, ini termasuklah membenarkan penyediaan yang adil daripada pembelaan, maka SPRM tidak boleh menghalang pembelaan daripada mendapatkan dokumen-dokumen," kata Nazlan.


Prosiding bersambung

2.44pm - Mahkamah menyambung prosiding selepas berhenti rehat.

Mahkamah berhenti rehat

1pm - Mahkamah berhenti rehat. Prosiding akan bersambung pada jam 2.30 petang.

12.50pm - Pihak pendakwaan memohon untuk mencegah sebarang rujukan pada dokumen yang tidak diserahkan sebagai bukti di mahkamah.

Pihak pendakwaan mahu pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu mendraf kenyataan saksi yang berbeza dengan yang dibacakannya di mahkamah.

Hakim berkata akan menyampaikan keputusannya selepas rehat.


Mahkamah akan putuskan sama ada SPRM salah guna kuasa 

12.15pm - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membuat keputusan selepas rehat makan tengah sama ada SPRM menyalah guna kuasa dengan mengarahkan AmBank menyemak dengannya dahulu sebelum menyerahkan dokumen kepada Najib Razak.

Peguam Najib, Shafee Abdullah, berkata SPRM tiada kuasa untuk menghalang anak guamnya dari mendapatkan dokumen berkaitan akaun bank sendiri.

Shafee berkata, tiada bahaya dokumen itu akan dimanipulasi atau dimusnahkah memandang salinan asalnya sudah berada di tangan SPRM.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram bagaimanapun berkata SPRM mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada AmBank kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau juga berkata perkara itu sudah menjadi akademik kerana pihak bank sudah pun berkongsi dokumen berkaitan dengan Najib dengan kelulusan SPRM.

Shafee tidak bersetuju dengan berkata arahan itu masih berkuat kuasa. Beliau berkata ia mungkin memberi kesan pada penyediaan pembelaan Najib.

Minggu lalu, mahkamah diberitahu bahawa Najib dimaklumkan melalui surat pada 15 Mei bahawa AmBank perlu menyemak dengan SPRM sebelum menyerahkan dokumen berkaitan akaunnya.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun telah dibenarkan mendapatkan akses pada dokumen itu.


Status FB Najib dibangkitkan di mahkamah

11.30am - Prosiding bermula dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali permohonan pihak pendakwaan supaya Najib meminta maaf susulan tulisan di Facebook yang dikatakan menyentuh soal perbicaraan.


11.19am - Prosiding bermula kembali. Najib mengambil tempat dalam mahkamah.

Turut kelihatan ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.

Najib di kandang tertuduh

11.19am - Prosiding bermula dan Najib Razak masuk ke kandang tertuduh.


Kelihatan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah di antara barisan peguam bekas perdana menteri.


Najib masuk ke bilik mahkamah

11.04am - Tertuduh Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.

Terdahulu, bekas perdana menteri itu mempunyai urusan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya berhubung penarikan balik rayuan atas 'kelemahan' yang dikatakan di dalam pertuduhan kes RM42 juta SRC International.

Kelihatan juga di mahkamah sekarang ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan yang lain, serta peguam Najib, Harvinderjit Singh dan peguam bela lain.


Najib dirai sempena hari lahir ke-66 di mahkamah

11.00am - Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk pendengaran kes SRC International, bersambut kehadiran kira-kira 30 penyokongnya yang telah menunggu di lobi sejak awal pagi ini.

Mereka membawa kek coklat dan mula menyanyikan lagu selamat ulang tahun kelahiran "Allah selamatkan kamu" sebaik sahaja Najib keluar dari kereta Proton Perdana hitamnya dengan nombot plat TN50.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Najib genap umurnya 66 tahun pada hari ini.


Peguam Najib siap soal saksi bekas pegawai AmBank

10.30 am - Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka bermula sedikit lewat dari biasa sekitar jam 10.30 pagi ini kerana Najib Razak perlu hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam suatu urusan berasingan.

Pasukan peguam Najib sedang menarik balik rayuan berhubung dakwaan terdapat 'kekurangan' dalam pertuduhan kes SRC International.

Sementara itu, mahkamah tinggi pada hari ini bakal menyaksikan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu dijangka berdepan berbagai persoalan daripada pasukan peguam bela kepada bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes RM42 juta dana SRC International.

Ini susulan beberapa pendedahan saksi ke-54 itu semasa pendengaran semalam.

Antaranya, Yu memberi keterangan mendedahkan sejauh mana peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dalam pemindahan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun AmBank Najib antara 2014 dan 2015.

Joanna Yu dalam keterangannya berkata Jho Low adalah individu yang menyelesaikan sebarang isu berkaitan akaun terlebih keluar (overdrawn) bagi akaun Najib di Ambank.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank itu memberitahu keadaan itu berlaku apabila beliau tidak dapat menghubungi pemegang amanah bagi akaun berkenaan, Nik Faisal Ariff Kamil.

"Dia (Jho Low) menangani isu akaun terlebih keluar dan memastikan cek ditunaikan," katanya.

Joanna berkata Jho Low boleh melakukan perkara itu walaupun ahli perniagaan sendiri tidak pernah menjadi pemegang mandat rasmi ke atas akaun Najib di AmBank.


 

Lihat Komen
ADS