Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan presiden PAS tolak dekriminalisasi penggunaan dadah
Diterbitkan:  Jul 24, 2019 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menolak langkah kerajaan untuk tidak menjadikan pemilikan dan penggunaan dadah dalam kuantiti kecil sebagai satu kesalahan jenayah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata langkah itu boleh membawa pergantungan kepada ketagihan.

"Dalam Islam, perkara yang boleh merosakkan akal perlu dicegah atau ditolak. Ketagihan dadah boleh merosakkan akal dan imunisasi tubuh.

"Memberikan peluang untuk mereka memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil tetap akan menyebabkan ketagihan," kata Tuan Ibrahim.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sebelum ini mengumumkan kerajaan akan meminda undang-undang untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah.

"Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam mengedar dadah.

"Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah," katanya.

Dzulkefly berkata, penggunaan dadah perlu dirawat melalui kaedah sains dan perubatan sebelum menggunakan pendekatan menghukum dan penahanan.

"Penagih akan dirawat sebagai pesakit (bukan sebagai penjenayah), yang mana ketagihan adalah penyakit yang kita ingin sembuhkan.

"Sudah tentu meletakkan mereka di dalam penjara tidak akan mengubahnya. Ia bukan semata-mata tentang soal seseorang itu memiliki tekad yang lemah," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS