Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank sendiri buat keputusan luluskan pinjaman rumah - Zuraida

Keputusan muktamad masih berada di tangan pihak bank dalam meluluskan permohonan pinjaman perumahan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau menegaskan demikian walaupun kerajaan mengambil langkah untuk membolehkan peminjam yang disenarai hitam dalam rekod Sistem Maklumat Rujuakn Kredit Berpusat (CCRIS) dikecualikan daripada sekatan untuk pembelian rumah pertama.

"Bank-bank sendiri akan membuat keputusan sama ada mereka mahu untuk meluluskan atau tidak pinjaman permohonan (daripada peminjam PTPTN).

"Fresh grads (graduan barubaru dapat kerja, dia punya credit worthiness is very high (kepercayaan kredit sangat tinggi).

"Dia tak ada loan (pinjaman), tak ada hutang sebab dia belum beli kereta, belum beli rumah, belum beli benda lain

"Jadi dia punya credit worthiness tu masih banyak lagi boleh digunakan (untuk mendapatkan pinjaman perumahan)," katanya kepada pemberita semasa program Fund My Home di Putrajaya awal hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai risiko yang mungkin dihadapi pihak bank dalam meluluskan pinjaman perumahan kepada mereka yang gagal membayar pinjaman pengajian mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata CCRIS merupakan Blanket Policy (dasar pukul rata) yang bukan berdasarkan kepercayaan kredit peminjam PTPTN.

Awal bulan ini, Zuraida mengumumkan bahawa peminjam PTPTN mungkin dapat membeli rumah tidak lama lagi apabila mereka dikecualikan daripada senarai hitam CCRIS.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Zuraida turut menasihatkan graduan muda agar tidak membelanjakan wang mereka untuk membeli kenderaan terlebih dahulu.

Sebaliknya, tegas beliau, golongan muda perlu melabur dalam pembelian hartanah.

"Kami mahu jadikan anak-anak muda untuk menjadi pemilik aset. Ini adalah budaya yang mereka harus mula dari sekarang, dan ia akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang," katanya. 

Lihat Komen
ADS