Kerajaan Terengganu masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan di Bukit Besi, Dungun, yang didakwa menyebabkan kemusnahan habitat harimau sehingga haiwan itu tersesat ke sebuah perkampungan minggu lepas.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai selepas menerima laporan siasatan tersebut.

"Sesiapa sahaja boleh buat dakwaan, namun apa yang berlaku ini mestilah melalui siasatan terperinci yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Bagi kerajaan negeri, kami memang mengambil berat mengenai aktiviti pembalakan dan perlombongan ini.

“Kita sentiasa pantau agar semuanya mengikut piawaian dan peraturan yang ditetapkan bukan hanya ketika berlakunya kes harimau ini sahaja," katanya selepas majlis pelancaran 160 unit Rumah Pangsa Mampu Milik di Tok Jembal, di Kuala Nerus hari ini.

Ahmad Samsuri berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang kesimpulan mengenai dakwaan tersebut sehingga laporan siasatan penuh dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan.

Khamis lepas, penduduk Kampung Besul Lama, Bukit Besi, gempar dengan kehadiran harimau yang dikatakan jinak kerana tidak menyerang haiwan dan manusia, malah beberapa video mengenai harimau itu menjadi tular dalam sekelip mata.

Keesokannya, harimau digelar Awang Besul itu berjaya ditangkap dalam operasi dijalankan Perhilitan sebelum dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai, Perak bagi mendapatkan rawatan intensif.

Bagaimanapun, harimau tersebut disahkan mati pada awal pagi semalam akibat virus Canine Distemper, sejenis penyakit yang menyerang saluran pencernaan, pernafasan dan sistem saraf pusat.

- Bernama