Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status saman lucut hak Yayasan Rahah, Naza Quest diketahui 23 Ogos

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Yayasan Rahah dan Naza Quest Auto akan mengetahui sama ada berlaku penyelesaian global bagi saman pelucuthakan 1MDB ke atas mereka pada 23 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai berkata, ketika semua keterangan berkaitan kes itu sedang dikumpulan pendakwaan memerlukan sedikit masa untuk memaklumkan pihak berkaitan sama ada mahu menyelesaikan perkara itu atau tidak.

"Kami bersetuju menjelang 23 Ogos kami (pendakwaan) boleh memberi respons," katanya di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hal itu kemudian disahkan peguam mewakili Yayasan Rahah, Amin Othman, dan Md Yunos Shariff yang bertindak bagi pihak Naza Quest Auto.

Awalnya hari ini ditetapkan untuk hakim mendengar permohonan pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga agar hadir ke mahkamah dan menyatakan tuntukan mereka terhadap aset yang ingin dilucutkan haknya.

Permohonan untuk notis pihak ketiga itu dibuat mengikut Seksyen 56 dan 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah sama mereka bersetuju dengan penyelesaian berkenaan dan ia perlu disampaikan secara bersurat.

Ada kesukaran teknikal

Sementara itu ketika ditemui selepas prosiding berakhir, Pillah mengesahkan Naza Quest Auto menghantar surat perwakilan pada 23 Julai lalu.

Sementara itu di mahkamah sama, hakim menangguhkan pendengaran bantahan awal Umno Pekan terhadap permohonan pendakwaan bagi mendapatkan notis pihak ketiga dalam saman pelucuthakan 1MDB pada pertubuhan berkenaan.

Mohd Nazlan menetapkan 23 Ogos untuk proses tersebut.

Beliau menerima permohonan dikemukakan peguam Umno Pekan, M Reza Hassan, kerana berdepan kesukaran teknikal yang berbangkit untuk mereka memfailkan bantahan awal tersebut.

"Kami memfailkan permohonan untuk mengetepikan tindakan ini (melalui bantahan awal) pada Jumaat lalu.

"Bagaimanapun disebabkan beberapa kesukaran teknikal, permohonan tersebut ditolak mahkamah. Justeru kami perlu mengemukakannya semula," katanya.

Pada 12 Julai lalu Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rahah - yang dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam saman pelucuthakan mereka - cuba mendapatkan penyelesaian luar mahkamah.

Yayasan Rahah adalah badan yang dinamakan sempena ibu Najib Razak, Rahah Mohammad Noah, untuk menjalankan program amal dan pendidikan dalam kalangan Orang Asli.

Sementara itu, Naza Quest Auto yang merupakan anak syarikat Naza Group, adalah pengedar tunggal kenderaan buatan AS, Chevrolet, di Malaysia sehingga November tahun lalu.

Menurut syarikat itu mereka menerima permohonan daripada SPRM untuk merampas RM269,662 yang digunakan dalam pembelian empat kereta Chevrolet sebelum ini.

Berdasarkan dokumen mahkamah, saman dikemukakan kerajaan itu menuntut kembali RM839,489.82 daripada Yayasan Rahah, RM269,662 daripada Naza Quest Auto, dan RM700,000 Umno Pekan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS