'Masuk Tabung Haji, jangan keluar-keluar'
"Masuk Tabung Haji bah, jangan keluar-keluar sudah," pesan Abdullah Ralmastan, jemaah haji dari Tawau, Sabah apabila ditanya tentang cara beliau dan isterinya, Ludia Salleh, menyimpan wang untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Pesara polis itu berkata, menyimpan untuk mengerjakan haji memerlukan disiplin yang tersendiri dan amat berlainan daripada cara menyimpan wang untuk masa hadapan atau hari-hari memerlukan.
"Duit yang kita simpan itu kita anggap bukan duit kita sendiri, tetapi duit pengorbanan untuk kita melaksana suruhan Allah.
"Tetapkan niat dan berdoa selalu kepada Allah, ini duit untuk pengorbanan aku pergi haji, mohon pada Allah cukup semua.
"Saya tahu bukan senang, kerana kita sentiasa mahu guna wang untuk keluarga dan macam-macam, tetapi jika tetapkan niat Allah akan tolong kita, tetapkan hati masuk jangan keluar-keluar sudah," katanya kepada Bernama.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji (TH).
Abdullah berkata beliau dan isterinya, Ludia, 58, mula menyimpan di TH sejak 2003 dan menasihatkan golongan muda di tanah air supaya mula menyimpan pada usia muda.
Ditanya tentang perjalanan ibadah dan kehidupannya di Makkah, Abdullah, 61, berkata sememangnya persekitaran di situ amat berbeza dengan Tawau, namun TH serta jemaah haji lain banyak membantunya menyesuaikan diri.
"Ada sedikit terkejut tetapi saya dan isteri amat gembira di sini, TH amat membantu kami dengan makanan pun bagus, perkhidmatan semua bagus.
"Arahan dimaklumkan kepada jemaah oleh TH supaya pastikan keselamatan dan kita selesa.
"Jauh dari rumah di Sabah memang rindu sama anak-anak semua, tetapi di sini segala-gala rahmat, kita sendiri rasa atas diri kita sendiri. Anak-anak dan keluarga di Sabah jangan risau, kami baik saja di sini," katanya yang mempunyai empat orang anak berusia 23 hingga 42 tahun.
- Bernama

