Seramai 852 pegawai perubatan siswazah (PPS) di hospital awam telah meletakkan jawatan dalam tempoh tiga tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam jawapan kepada parlimen, Zulkefly berkata seramai 234 orang meletakkan jawatan pada tahun 2016, diikuti 315 orang pada tahun 2017 dan 303 orang pada tahun berikutanya.

Menurutnya sejak 2016 kerajaan telah melaksanakan perubahan dasar pelantikan graduan perubatan daripada pelantikan secara tetap kepada pelantikan secara kontrak.

Ia bagi memastikan mereka menjalani latihan siswazah tanpa tertakluk kepada kekosongan jawatan, kekangan jawatan tetap dan tanpa perlu ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Kaedah pelantikan kontrak ini membolehkan pegawai perubatan siswazah lebih komited dan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang menjalani siswazah latihan.

"Kerajaan berpandangan kaedah ini wajar dikekalkan dan pelantikan tetap mengikut bakat terbaik tertakluk kepada kekosongan jawatan dari semasa ke semasa.

"Secara tidak langsung melalui kaedah ini kerajaan boleh membantu meningkatkan jumlah doktor di sektor swasta," katanya.

Pada masa ini terdapat 44 hospital menyediakan latihan bagi graduan perubatan.

Laporan Ketua Audit Negara 2018  siri 1 yang dikeluarkan bulan ini, mendapati perkhidmatan hospital awam terkesan dari segi perkhidmatan, sumber manusia dan kemudahan, disebabkan pemotongan bajet.

The Edge melaporkan jabatan kecemasan dan trauma (ETD) hospital di Malaysia mengalami kekurangan staf, kesesakan, kekurangan sumber kewangan dan tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

Kementerian Kesihatan memohon peruntukan RM96.95 juta di antara 2016 dan 2018 bagi menyediakan kemudahan, tetapi hanya menerima RM20.32 juta atau 21 peratus daripada jumlah yang diminta.

Dilaporkan pegawai perubatan latihan siswazah juga dikurangkan setiap tahun.

Tahun lepas, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut kerajaan menambah bilangan hospital latihan dan pegawai perubatan latihan siswazah bagi menangani lebihan graduan perubatan yang belum ditempatkan di hospital.

Keadaan itu dikatakan menyebabkan para doktor, kakitangan perubatan dan doktor pelatih terpaksa bekerja lebih masa kerana kekurangan tenaga kerja.