'Polis patut sudah lama lipat ganda usaha selesai kes Indira Gandhi'
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata polis sepatutnya sudah lama melipatgandakan usaha untuk mencari anak perempuan M Indira Gandhi, Prasana Diksa.
"Jaminan oleh IGP (Abdul Hamid Bador) bahawa polis melipatgandakan usaha untuk mencari Prasana Diksa sepatutnya sudah dibuat lama kerana kes ini mencemarkan profesionalisme polis," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Semalam Abdul Hamid turut berkata beliau mengambil kepentingan peribadi dalam kes itu dan berharap ia akan "berkesudahan dengan baik dan gembira".
"Kes ini amat sedih dan menyentuh hati rakyat Malaysia. Kita bercakap tentang seorang ibu (yang terpisah) dengan anaknya.
Iklan
"Saya telah arahkan polis untuk melipatgandakan usaha mereka. Polis sedang mencari, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya," kata Abdul Hamid.
Bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah melarikan Prasana - anak bongsu mereka - ketika dia berusia sebelas bulan dan kemudian secara sepihak menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam pada 2009.
Kes itu mencetuskan pertembungan di mahkamah yang panjang, melibatkan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.
Dua lagi anak mereka kini tinggal bersama Indira, manakala lokasi Prasana dan bapanya masih tidak diketahui.

