BERITA Malaysiakini

Wang akan datang bila Umno kembali kuat, kata Zahid

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Di kala Umno berdepan kekangan kewangan berikutan akaun bank dibekukan kerana skandal 1MDB, Presidennya Ahmad Zahid Hamidi meyakinkan anggota parti itu bahawa banyak pihak akan menghulur bantuan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Dalam keadaan kepayahan begini, saya ingin sebutkan, segala-galanya perlukan wang, tapi wang bukan segala-galanya.

“Bila PRU (ke-15) nanti, saya amat yakin, di luar sana, terlalu ramai yang simpati dengan kepayahan Umno, insyaAllah, mereka akan bantu kita,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Zon 4 di Keningau, Sabah, hari ini.

Umno Zon 4 terdiri daripada bahagian Keningau, Tenom, Ranau dan Pensiangan.

Ucapan Ahmad Zahid itu turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan pelancaran tabung dana Umno buat julung-julung kalinya bagi menampung perbelanjaan parti termasuk menghadapi PRU-15.

Buat masa sekarang, kata Zahid, pihak-pihak yang mahu membantu Umno tidak meneruskan niat itu kerana "khuatir akan dizalimi".

“Sekarang ini mereka tak mahu membantu kita sebab ada kekhuatiran, kegusaran dan gementar, takut-takut dianiaya dan dizalimi.

“Tetapi insyaAllah, kalau mereka lihat kita kuat kembali...Tanpa kita minta tolong, mereka akan datang membantu kita dari segi wang ringgit dan kewangan,” katanya lagi.