Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM42 juta ke atas Najib Razak bersambung lagi. Hari ini ia memasuki hari ke-46.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


Terima kasih pembaca

5.46pm - Terima kasih kerana mengikuti lintas langung daripada Malaysiakini.

Laporan oleh wartawan Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemaskini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.


Fokus baru pemeriksaan balas esok - Peguam

5.17pm - Peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu esok akan memasuki fokus baru.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan dan menetapkan pendengaran esok bermula jam 9 pagi.


Joanna tunjuk ajar Nik Faisal apa perlu tulis pada AmBank

5.15pm - Mahkamah mendengar bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu telah memberikan tunjuk ajar kepada bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil mengenai apa yang perlu ditulis berhubung operasi melibatkan akaun bank Najib Razak.

Hal ini diberitahu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh terhadap saksi pendakwaan ke-54, apabila peguam itu menunjukkan Yu satu siri mesej perbualan antara beliau dan Nik Faisal pada tahun 2015.

Perbualan itu termasuk contoh di mana Yu telah menunjuk ajar kata demi kata kepada Nik Faisal untuk digunakan dalam hantaran e-mel kepada bank bagi memberitahu pihak itu mengenai dana yang disediakan pada hari berikutnya.

Yu juga memberitahu Nik Faisal apa yang harus dijawab kepada rakan sekerjanya di AmBank ketika itu Daniel Lee.

Yu kemudian bersetuju dengan cadangan oleh Harvinderjit bahawa mesej yang dibacakan di mahkamah itu jelas menunjukkan Nik Faisal merupakan seorang yang "tidak tahu apa-apa" selain daripada apa yang diarahkan kepadanya.


‘Nik Faisal bukan pak turut saya’

4.55pm: “Dia bukan setuju saja apa yang saya kata,” kata saksi Joanna Yu ketika ditanya sama ada Nik Faisal Ariff Kamil, pemegang mandat untuk akaun Najib di AmBank, semata-mata pak turut.

Yu, bekas pengurus perhubungan AmBank berkata demikian ketika peguam pembelaan Harvinderjit Singh semasa sesi soal balas.

Harvinderjit: Kamu yang tentukan apa yang perlu dilakukan, Nik Faisal cuma pak turut, melalui tandatangan elektroniknya?

Yu: Dia bukan pak turut pada cakap saya.

Harvinderjit: Siapa draf surat pemindahan?

Yu: Bank yang draf, dan ditandatagani oleh Nik Faisal supaya cek tidak tendang.

Yu merujuk kepada pemindahan dana antara akaun Najib di AmBank yang nombornya berakhir dengan angka 880, 898 dan 906.


Pembelaan cuba buktikan Nik Faisal bertindak bawah arahan Jho Low

4.35pm: Peguam bela Harvinderjit Singh membawa Joanna Yu meneliti semula mesej perbualannya dengan ahli perniagaan dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil di aplikasi BlackBerry Messengernya.

Dalam usaha yang kelihatan seperti percubaannya untuk menunjukkan bahawa Low mempunyai kawalan atas akaun bank milik bekas perdana menteri Najib Razak, Harvinderjit meminta saksi untuk mengesahkan beberapa perbualan antara Yu, Low dan Nik Faisal pada 2014.

Ini termasuklah satu siri perbualan dalam kumpulan sembang, di mana Low meminta Yu memberitahu Nik Faisal untuk mengarahkan perpindahan wang ke dalam salah satu akaun bank Najib.

Untuk rekod, Nik Faisal adalah individu berautoriti yang diamanahkan untuk mengendalikan akaun bank AmBank milik Najib.

Saksi pendakwaan kemudiannya bersetuju terhadap cadangan bahawa Nik Faisal hanya mengikut arahan daripada Low.

Harvinderjit: Kamu setuju tak dengan saya, Nik Faisal hanya ikut arahan daripada Low?

Yu: Kalau berdasarkan perbualan ini, ya. 


'Bila dana masuk, duit bergerak antara 3 akaun Najib'

4.00pm - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu bersetuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh yang mencadangkan wang mengalir antara tiga akaun bekas perdana menteri Najib Razak apabila terdapat kemasukan dana tempatan atau asing.

Harvinderjit: Pergerakan antara akaun (dengan nombor akhir 880, 898 dan 906) hanya terjadi selepas terdapat kiriman dana asing atau tempatan ke dalam akaun tersebut?

Yu: Biasanya begitu.

Harvinderjit: Pada awal bulan, untuk akaun 880, 898 dan 906, terdapat pergerakan antara akaun, daripada akaun 880 kepada yang lain supaya cek tidak akan ditendang?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Sebaik sahaja (wang) berjuta-juta (ringgit di dalam akaun 880) telah habis, pergerakan antara akaun berkenaan hanya akan terjadi jika ada pemindahan asing atau tempatan yang diatur oleh (ahli perniagaan dalam buruan) Low Taek Jho?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Jadi cek tidak akan kena tendang?

Yu: Ya.

Menjawab soalan dari Harvinderjit itu, Yu berkata kebanyakan arahan Low telah diformalkan oleh bekas CEO SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga pemegang amanah untuk akaun Najib.

Menurutnya lagi, Low akan menentukan wang itu masuk ke dalam akaun yang telah dibebaskan.


3.58pm: Prosiding disambung semula.


3.00pm: Prosiding ditangguhkan untuk memberi laluan kepada peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah yang perlu hadir di mahkamah berasingan bagi mendengar keputusan mengenai tuduhan menghina mahkamah ke atasnya.

Prosiding dijangka akan disambung semula sebentar lagi.


Jho Low abai amaran deposit tunai terlalu banyak ke akaun Najib

2.55pm: Ahli perniagaan Low Taek Jho mengabaikan amaran tentang jumlah deposit tunai yang terlalu banyak ke akaun AmBank milik bekas perdana menteri Najib Razak antara 2014 dan 2015, kata saksi yang merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Yu memaklumkan perkara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh.

Harvinderjit pada mulanya bertanya kepada Yu sama ada Low mengabaikan amaran kerana perlu memastikan cek Najib tidak ditendang.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram kemudiannya meminta Harvinderjit untuk memecahkan soalan itu untuk mengelak mengelirukan saksi.

Harvinderjit: Pada banyak kesempatan, anda memberitahu mereka (para pendeposit) agar tiada lagi kemasukan wang tunai melalui kaunter, tetapi itu semua diabaikan?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Walaupun anda katakan kepada mereka mengenai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001dan masalah yang dihadapi (sama sekali tidak diendahkan)?

Yu: Sama ada mereka mengambil tahu atau tidak, saya tidak tahu.

Harvinderjit: Mereka tidak mematuhi?

Yu: Mereka tetap memasukkan wang tunai.


RM12.37j masuk ke 2 akaun Najib 

2.50pm: Sebanyak RM12.37 juta wang tunai telah dimasukkan ke dalam dua akaun AmBank milik tertuduh Najib Razak antara Jun 2014 dan Mac 2015.

Mahkamah dimaklumkan bahawa ia adalah untuk memastikan bahawa cek yang dikeluarkan tidak ditendang.

Menurut bekas pengurus AmBank, Joanna Yu, deposit tunai di kaunter telah dibuat dalam 19 transaksi ke akaun Najib yang berakhir dengan angka 880 dan 906, atas arahan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi memaklumkan perkara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Merujuk kepada apa yang saya tunjukkan kepada anda, adakah anda bersetuju, setiap orang yang memasukkan wang tunai adalah arahan daripada Low?

Yu: Ya dia terlibat dalam mengatur deposit. Agar cek tidak akan ditendang.

Yu juga bersetuju bahawa semua deposit dengan cek dibuat pada hari yang sama dia memaklumkan kepada pihak yang mendepositkan wang bahawa wang dalam akaun berkenaan sudah dikeluarkan secara berlebihan.


Deposit 'reaktif' lebih RM7j ke akaun 906 Najib

2.30pm: Lebih RM7 juta didepositkan ke dalam akaun AmBank bekas perdana menteri Najib Razak yang berakhir dengan angka 906 dibuat "secara reaktif", kata Joanna Yu.

Yu memberitahu peguam bela Harvinderjit Singh bahawa deposit tersebut dibuat selepas Low Taek Jho dimaklumkan bahawa wang dalam akaun berkenaan telah dikeluarkan secara berlebihan.

Harvinderjit: Akaun 906 mempunyai tunai (deposit) dari bulan Jun 2014 hingga 9 Mac 2015 iaitu kira-kira RM7 juta?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Deposit itu dilakukan dengan cara yang reaktif apabila Low diberitahu bahawa akaun itu mempunyai risiko untuk cek ditendang?

Yu: Ya.


2.10pm: Prosiding diteruskan selepas rehat makan tengah hari yang dipendekkan.


1.00pm: Mahkamah berehat untuk makan tengah hari dan dijangka akan kembali pada pukul 2 petang.

Rehat dipendekkan kerana peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Harvinderjit Singh perlu menghadiri pendengaran berasingan sekitar 3 petang.

Prosiding mahkamah lain petang ini akan mendengar keputusan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk mendakwa Shafee kerana menghina mahkamah berhubung kenyataan media mengenai kes mahkamah Najib.


Pegawai AmBank guna duit sendiri RM55k urus akaun Najib 

12.35pm: Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu mengakui bahawa dia mungkin menggunakan wang sendiri sebanyak RM55,000 dalam mengurus semula akaun bank perdana Najib Razak pada 2014.

Ia dikatakan berlaku pada 29 Sept tahun itu, apabila akaun Najib yang berakhir 906 telah dibelanjakan sebanyak RM55,000, disebabkan cek RM80,000 yang dikeluarkan tanpa baki yang mencukupi.

Menurut perbualan melalui BlackBerry Messenger dengan seseorang bernama Josie, yang merupakan setiausaha Low Taek Jho, Yu menghubungi Jho Low untuk memberitahunya agar mendepositkan wang tunai ke dalam akaun AmBank Najib.

Low kemudian mengarahkan Yu untuk mendapatkan Kee Kok Thiam untuk menyediakan dana itu, tetapi diberitahu bahawa dia berada di Melaka.

Kee sebelum ini telah dikenal pasti sebagai sekutu Low, dan ditugaskan membuat deposit tunai ke dalam akaun Najib. Kee adalah subjek saman pelupusan sivil di Malaysia.

Low kemudian memberitahu Yu untuk mendapatkan Josie, selepas itu dia mengetahui bahawa setiausaha itu juga tidak dapat dihubungi, dan hanya boleh mendepositkan dana pada hari berikutnya.

"Saya mungkin perlu membantunya dengan dana itu terlebih dahulu," kata Yu kepada Josie.

Peguam pertahanan Harvinderjit Singh meminta Yu untuk mengesahkan perkara berkenaan.

Harvinderjit: RM55,000 tidak datang dari Kee atau Josie?

Yu: Saya tidak ingat.

Harvinderjit: Sekali lagi saya cadangkan, ia datang dari anda. Dan Josie membayar balik kamu keesokan harinya?

Yu: Mungkin.

Saksi itu kemudian mengesahkan perbualan lain antara dia dan Josie, yang berlaku pada hari berikutnya.Dalam perbualan itu, Yu berterima kasih kepada Josie kerana membayar jumlah dana berkenaan.


Jho Low minta hubungi CEO Putra Perdana untuk pindah dana

11.00am - Butiran siri perbualan pada 2014 antara bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu, Low Taek Jho atau Jho Low, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Putra Perdana Jerome Lee dibacakan di mahkamah.

Perbualan itu, yang dibacakan oleh peguam Harvinderjit Singh dan disahkan oleh Yu, berkisar tentang usaha untuk memastikan dana yang mencukupi dalam akaun Najib Razak agar cek RM5 juta kepada Umno tidak ditendang.

Log perbualan mendedahkan bahawa Yu menghubungi Low pada pagi 10 Sept 2014, untuk memberitahunya bahawa RM3.8 juta diperlukan untuk dimasukkan ke akaun AmBank Najib yang berakhir dengan angka 906 pada jam 3 petang pada hari itu.

Sekiranya dia gagal berbuat demikian, katanya cek RM5 juta itu perlu dikembalikan. Low kemudian memberitahu Yu untuk menghubungi Lee agar memindahkan dana ke dalam akaun itu.

Yu kemudiannya berkomunikasi dengan Lee sehinggalah sejumlah RM5 juta dipindahkan dari akaun Allianz Bank Putra Perdana ke akaun Najib.

Mahkamah juga mendengar bahawa Low mengarahkan Yu untuk memberitahu Lee bahawa pemindahan dana tidak boleh dibuat dari akaun AmBank Putra Perdana.


Saksi rujuk Jho Low sebagai 'boss'

10.45am: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu menggunakan perkataan 'boss' untuk merujuk Low Taek Jho atau Jho Low dan menggambarkan ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu merupakan orang atasan pengarah Permai Binaraya Jerome Lee.

Peguam, Harvinderjit Singh meneliti log perbualan perbualan antara Yu dan Lee pada pertengahan tahun 2014.

Harvinderjit: Anda menggunakan (istilah) 'bos' untuk Low, menggambarkan bahawa Jho Low berada dalam kedudukan yang tinggi daripada Lee, (yang) mengambil arahan daripada Low?

Yu: Ya.

Yu telah memaklumkan kepada Lee mengenai pemindahan RM27 juta daripada akaun Maybank Permai Binaraya kepada akaun AmBank Najib Razak yang berakhir dengan angka 880 pada Julai 2014.


Kiriman wang asing ke akaun Najib tak dilapor ke Bank Negara

10.16am: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu mengatakan bahawa pengiriman wang asing ke dalam akaun Najib Razak pada 2014 tidak dibawa ke perhatian Bank Negara.

Saksi mengatakan ini kepada peguam bela Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas.

Harvinderjit: Kiriman wang asing pada 2014, tidak ada isu yang dibangkitkan Bank Negara berdasarkan dokumen yang disediakan oleh (pemegang akaun Najib) Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low?

Yu: Tidak dibangkitkan oleh Bahagian Pengiriman (AmBank).

Terdahulu, Harvinderjit menyoal Yu berhubung jutaan mata wang asing yang mengalir ke akaun AmBank Najib yang berakhir dengan angka 880 sepanjang tahun.


9.45am: Prosiding diteruskan dengan pemeriksaan balas oleh peguam, Harvinderjit Singh ke atas saksi Joanna Yu, yang merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank yang bertanggungjawab terhadap akaun Najib Razak.

Yu mengesahkan perbincangannya dengan Jho Low pada 2014.

Peguam juga menyoal mengenai siri pemindahan dana asing dalam mata wang Pound ke akaun Najib yang berakhir dengan angka 880 pada tahun yang sama.

Soalan yang dikemukakan Harvinderjit dilihat cuba menunjukkan bahawa Jho Low memainkan peranan penting dalam urus niaga itu, termasuk memberitahu Yu bahawa tujuan dana itu adalah 'hadiah' selain memaklumkan alamat e-mel yang harus digunakan untuk menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan individu yang diberi kuasa untuk mengendalikan akaun Najib.


9.13am: Najib masuk kandang tertuduh dan prosiding dimulakan.


9.03am: Tertuduh Najib Razak dilihat masuk ke dalam mahkamah sambil berbincang dengan peguam Harvinderjit Singh.


9.00am - Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan kepada sembilan pagi Rabu ini.

Peguam bela kepada bekas perdana menteri, Harvinderjit Singh akan meneruskan sesi pemeriksaan balas dengan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu.

 

Lihat Komen
ADS